Bank Dunia puji langkah Malaysia rombak garis kemiskinan | DagangNews Skip to main content

Bank Dunia puji langkah Malaysia rombak garis kemiskinan

KUALA LUMPUR 17 Julai – Bank Dunia memuji langkah Malaysia merombak nilai purata Pendapatan Garis Kemiskinan lebih dua ganda kepada RM2,208 berbanding RM980 sebelum ini, yang dianggap membolehkan kerajaan memastikan semua rakyat mencapai standard minimum baru kehidupan yang lebih konsisten dengan ekonomi semasa.

Metodologi garisan kemiskinan Malaysia tidak pernah dikemas kini sejak 2005, dan nilai purata kemiskinan di dalam nilai sebenar tidak juga berubah sejak pendapatan garisan kemiskinan (PLI) pertama kali diwujudkan pada 1977.

Keputusan untuk mengemas kini garisan kemiskinan itu bermakna kesulitan dan kesusahan yang dianggap tidak bernasib baik tetapi diterima dari aspek sosial, kini tidak lagi boleh diterima mulai tahun ini,’’ kata ahli ekonomi kanan Bank Dunia, Kenneth Simler di dalam kenyataan hari ini.

WorldB
Kenneth Simler


Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, Simler berkata pertambahan di dalam garisan kemiskinan dan kadar kemiskinan daripada 0.4% hingga 5.6% bukan bermakna kemiskinan sudah meningkat atau lebih ramai rakyat menjadi miskin berbanding sebelum ini.

“Apabila mengira kadar kemiskinan 5.6% itu, Jabatan Perangkaan Malaysia bukan membandingkan pendapatan isi rumah kepada PLI RM2,208 yang sering dipetik. Ia hanyalah satu purata.

“Sebaliknya, PLI berlainan dihitung bagi setiap isu rumah bergantung kepada berapa ramai yang tinggal di situ dan kos setempat bagi barangan dan perkhidmatan asas, yang nyata berbeza di seluruh Malaysia,’’ kata Simler.

Katanya, dasar-dasar untuk mengurangkan kemiskinan dan memupuk keinginan lebih lagi untuk berkongsi kemakmuran negara akan memberi manfaat dengan mengguna pakai butir-butiran yang termasuk di dalam metodologi garisan kemiskinan.

Beliau menekankan bahawa adalah penting untuk memastikan bantuan disalurkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan dan dana kerajaan yang sedikit dibelanjakan secara secekap-cekapnya.

“Ia boleh dicapai dengan memastikan keperluan kelayakan dan tahap manfaat turut merangkumi ciri-ciri penting seperti berapa ramai di dalam satu keluarga dan apakah mereka mendiami kawasan yang harganya mahal atau rendah,’’ ujar Simler.

Misalnya ujar beliau, kelayakan dan tahap manfaat untuk dasar bantuan sosial seperti dulunya BR1M atau kini Bantuan Sara Hidup (BSH), atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) adalah berdasarkan hanya pendapatan isi rumah.

``Kesilapan ini menyebabkan pasangan suami isteri berpendapatan RM3,900 sama keperluannya dengan sebuah keluarga enam orang yang bergantung kepada RM4,100 yang jika difikirkan secara waras, adalah tidak betul,’’ katanya.

Walaubagaimanapun, berbanding bertindak menetapkan semua tahap gaji minimum berasaskan PLI baharu, Simber berkata, kebanyakan laluan lestari untuk keluar dari kemiskinan dan pendapatan rendah bagi kebanyakan orang miskin ialah akses lebih baik kepada penggajjian bergaji lebih tinggi. – DagangNews.com