Bank kekal berdaya tahan, kualiti aset agak membimbangkan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bank kekal berdaya tahan, kualiti aset agak membimbangkan - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Sektor perbankan dilihat berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19 yang masih mencatat kadar jangkitan harian tinggi hingga ke hari ini.

 

Bagaimanapun, sekiranya situasi ekonomi masih berlarutan, ia kemungkinan akan memberi kesan kepada sektor tersebut. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng berkata, pertumbuhan pendapatan sektor perbankan dijangka pulih tahun ini tetapi sebarang kemerosotan ekonomi boleh menjadi faktor negatif. 

 

"Sekiranya ini berlaku, bank-bank akan bergelut dengan penurunan drastik dalam pertumbuhan pembiayaan sekali gus meningkatkan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) bagi 2021.

 

"Tetapi, kami percaya LLP bank akan kekal dalam aliran menurun pada suku kedua ini, mungkin membantu sebagai pemangkin kepada pertumbuhan untung bersih pada suku tersebut dan menyokong pemulihan untung bersih kira-kira 9.4% untuk tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu memberi saranan 'overweight' ke atas sektor perbankan dengan jangkaan berlaku pemulihan tahun ini sejajar dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diramalnya.

 

CGS-CIMB juga memberi saranan 'tambah' kepada saham Public Bank, Hong Leong Bank dan Maybank.

 

Jumlah peruntukan bank hanya meningkat kepada RM978.1 juta pada suku kedua berbanding RM2.04 bilion pada suku pertama dan RM1.24 bilion pada suku kedua 2020.

 

Pada Jun 2021, pertumbuhan pinjaman bank menyederhana kepada 3.4% berbanding 3.9% pada bulan sebelumnya disebabkan sekatan pergerakan yang masih berlanjutan.

 

Segmen isi rumah susut kepada 5.2% berbanding 6.1% pada Mei manakala agi pinjaman bukan isi rumah pula (kebanyakannya membabitkan perniagaan), susut 0.9% tahun ke tahun pada akhir Mei kepada 0.8% pada Jun. 

 

Keseluruhan pinjaman industri pada separuh pertama 2021 berkembang 1.6%, yang mencerminkan kadar tahunan pada 3.2%.

 

"Ini adalah sejajar dengan unjuran pertumbuhan pinjaman kami bagi tahun ini antara 2.5% hingga 3.5%, meskipun setelah mengambil kira pertumbuhan pinjaman yang perlahan pada separuh kedua.

 

"Pada masa sama, pemberian moratorium automatik bermula 7 Julai lalu, sepatunya memberi sokongan kepada pertumbuhan pinjaman bank memandangkan pinjaman di bawah moratorium tidak dibayar dalam tempoh 3 hingga 6 bulan," jelas Winson. 

 

Baca : BNM : Nisbah pinjaman terjejas dijangka kekal stabil

 

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, nisbah pinjaman terjejas dijangka kekal stabil secara meluas dalam tempoh terdekat apabila bank terus memberikan bantuan bayaran balik pinjaman untuk peminjam berdaya maju bagi menghadapi kesukaran kewangan yang sementara.

 

Dalam laporan Perkembangan Monetari dan Kewangan bagi Jun 2021, bank pusat berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.6% dan 1.0%, dalam keadaan jejas nilai bulanan yang meningkat sedikit.

 

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chan Jit Hoong berkata, kualiti aset menunjukkan beberapa kelemahan kerana nisbah pinjaman kasar terjejas (GIL) meningkat sehingga 3 mata asas (bp) bulan ke bulan kepada 1.62%, diheret oleh segmen perniagaan manakala isi rumah kekal tidak berubah.

 

"Kami menjangkakan nisbah GIL akan terus meningkat tetapi tidak terlalu membimbangkan kerana bank-bank telah membuat peruntukan sebelum itu bagi tahun kewangan 2020, justeru, kami berpendapat, pasaran telah mengambil kira kredit risiko secara memadai.

 

"Malah, kerajaan dan BNM juga kekal memberi sokongan untuk membantu peminjam bermasalah, sekali gus mengehadkan penurunan nisbah GIL yang ketara," katanya.

 

Firma itu juga menjangkakan margin untung bersih (NIM) bank kekal stabil selagi tiada penurunan kadar dasar semalaman (OPR) dan persaingan deposit pada tahun ini.

 

Ia mengekalkan saranan 'overweight' dan optimistik terhadap sektor perbankan di sebalik sekatan pergerakan yang masih dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

"Ini berdasarkan keyakinan kami terhadap pelaksanaan program vaksin COVID-19, penilaian yang tidak diperlukan dan kecairan pasaran yang mencukupi," jelasnya. 

 

HLIB Research memberi saranan 'beli' ke atas saham maybank, Public Bank, RHB Bank, BIMB Holdings dan Affin Bank. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, dengan pemberian moratorium secara opt-in selama 6 bulan, perniagaan yang terjejas mempunyai tempoh masa untuk bertahan tetapi ia menyebabkan berlakunya kerugian pengubahsuaian ke atas bank.

 

Katanya, seperti dijangka langkah sekatan pergerakan penuh telah memberi kesan kepada kemampuan pengguna untuk berbelanja dan ia mencerminkan perniagaan institusi perbankan yang lemah.

 

"Tetapi, kebanyakan bank bersetuju kesan kerugian pengubahsuaian kali ini kurang teruk berbanding moatorium kali pertama tahun lalu kerana ia lebih fleksibel tahun ini.

 

"Bagaimanapun, prospek sektor perbankan menjadi cermin kepada ekonomi dan sebarang rintangan dalam mencapai sasaran vaksinasi akan menjejaskan sentimen sektor ini," katanya. 

 

Kenanga Research mengekakan saranan 'neutral' ke atas sektor perbankan setakat ini memandangkan masih kekurangan sentimen. 

 

Namun, saham Maybank dilihat menarik buat mereka yang mahu kekal melabur dengan firma itu mengunjurkan harga sasaran pada RM10.65. 

 

Ini kerana katanya, Maybank mempunyai kedudukan kukuh untuk berdepan ketidaktentuan makro ekonomi dan hasil dividennya terjamin. 

 

Setakat 11.34 pagi ini, saham Maybank diniagakan pada RM8.02 setelah menokok 0.10 sen dengan 1.2 juta saham diniagakan. - DagangNews.com