Skip to main content

Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia tingkat tahap mobiliti rakyat Johor

Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) yang memulakan projek rintisnya hari ini dilihat penting bagi meningkatkan tahap mobiliti rakyat Johor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek berkenaan akan menjadi pemangkin kepada pembangunan keseluruhan negeri Johor.

 

"Perkhidmatannya akan memastikan sistem pengangkutan awam yang efisien, mudah dan mesra alam, meliputi kawasan yang luas. 

 

“Saya yakin ianya akan menjadi pemangkin pembangunan, tidak hanya bagi kawasan Iskandar Malaysia, tetapi bagi keseluruhan," katanya.

 

.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian perlaksanaan sistem Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) hari ini.

 

Ketibaan Menteri Besar Johor disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

 

Datuk Ir. Hasni turut menyempurnakan gimik perasmian pelancaran projek ujian rintis sebelum meluangkan masa meninjau model berskala Stesen IMBRT dan melawat tiga jenis bas untuk laluan perantara, terus dan utama sistem IMBRT daripada sembilan bas berteknologi hijau lain yang akan diuji.

 

Beliau kemudiannya turut serta menaiki bas berkapisiti tinggi yang melalui Persiaran Puteri Selatan, Jalan Laksamana 1, Jalan Laksamana 2 dan Persiaran Dato’ Seri Amar sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan.

 

Sistem itu memulakan projek rintis bagi menguji keupayaan bas berkapasiti tinggi serta menggunakan teknologi hijau seiring dengan pemodenan sistem pengangkutan awam di negeri berkenaan.

 

.

 

IRDA serta agensi-agensi berkaitan akan turut menjalankan membuat penilaian, mengumpul maklum balas mengenai keberkesanan dan keselamatan bas serta mendapatkan kelulusan penggunaan sebenarnya kelak.

 

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim menegaskan, infrastruktur pengangkutan awam yang efisien dan bersepadu penting bagi menarik pelaburan asing dan domestik, sekali gus meningkatkan daya tarikan ke koridor pembangunan tersebut.

 

"Projek IMBRT ini dijangka akan membuka sehingga 35,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Johor," tambahnya.

 

Projek tersebut telah mengenal pasti laluan perantara, terus dan utama yang akan menghubungkan kawasan seluas 2,043 kilometer atau kira-kira 90% daripada kawasan berpenduduk di Iskandar Malaysia.

 

Apabila dilaksanakan sepenuhnya, IMBRT mampu menghubungkan 55 laluan perantara dan 44 laluan terus dengan laluan utama merangkumi 33 stesen. - DagangNews.com