Bekalan sarung tangan global dijangka meningkat hingga 25% | DagangNews Skip to main content

Bekalan sarung tangan global dijangka meningkat hingga 25%

Sarung tangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Bekalan sarung tangan di peringkat global dijangka akan terus meningkat sebanyak 15% hingga 25% pada setiap tahun menjelang dua hingga tiga tahun akan datang.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dibuat susulan penggunaan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat.

 

"Kami menjangkakan bahawa dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke hadapan, bekalan sarung tangan global akan meningkat sebanyak 15%-25% setiap tahun berikutan penggunaan yang lebih tinggi dan peningkatan kesedaran kesihatan di seluruh dunia.

 

"Walaupun rancangan pengembangan yang agresif dilakukan syarikat pembuat sarung tangan untuk menyambut peningkatan permintaan ini, pertumbuhan bekalan global dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berkemungkinan masih belum seiring dengan peningkatan permintaan.

 

"Ini juga memberi anggapan bahawa tidak akan ada gangguan bekalan daripada keadaan yang tidak dijangka atau sebarang kelewatan rancangan pengembangan akibat kelewatan pembinaan, kekurangan bekalan bahan mentah dan lain-lain," jelas CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya hari ini.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, syarikat pembuat sarung tangan mengharapkan purata harga jualan (ASP) terus meningkat pada setiap bulan sekurang-kurangnya hingga akhir suku pertama 2021.

 

Harapan itu didorong oleh kekurangan bekalan di seluruh dunia selain kenaikan harga bahan mentah, kos tenaga kerja yang lebih tinggi dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut meletakkan jangkaan hasil yang lebih tinggi kepada syarikat pembuat sarung tangan untuk suku akan datang.

 

"Kami menjangkakan syarikat pembuat sarung tangan akan terus mencatatkan hasil suku yang tinggi didorong oleh ASP yang lebih tinggi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan skala ekonomi yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor sarung tangan.

 

"Walaupun, pilihan utama kami dalam sektor ini adalah Hartalega dan Top Glove, kami juga membuat saranan 'tambah' kepada saham Supermaz dan Kossan," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com