Skip to main content

Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan data yang sahih

 

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Belanjawan 2021 dirumuskan berdasarkan laporan yang dibentangkan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan data berikan adalah sahih, menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah. 

 

Beliau berkata, kerajaan tidak akan membentangkan pengembangan bajet sekiranya tidak yakin dengan prestasi ekonomi negara pada masa akan datang. 

 

Katanya, negara berada dalam kedudukan 20% teratas dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat global dan ini semua petunjuk yang memberi satu pandangan lebih luas.

 

"Kami tidak akan membentangkan bajet ini sekiranya tiada keyakinan dengan prestasi ekonomi negara pada masa akan datang.

 

"Tetapi sebaliknya, kita turut membentangkan anggaran belanjawan dan hasil untuk 2021. Walau apapun kita masih boleh membuat semak dan imbang jika prestasi ekonomi tidak berubah seperti dijangkakan," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama.

 

Sahar berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-Undang Kewangan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Dewan Rakyat meluluskan RUU tersebut yang menyediakan beberapa potongan cukai bagi menangani kesan COVID-19 seperti diperuntukkan di bawah Belanjawan 2021.  

 

Beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Wong Chen (PH-Subang) sama ada unjuran yang dibuat kerajaan dalam Belanjawan 2021 adalah tidak realistik ketika negara berdepan pandemik COVID-19. 

 

"Malah, kita amat bertuah kerana kakitangan Kementerian Kewangan bertungkus lumus untuk memastikan segala pandangan diambil kira dalam apa jua keadaan bagi memastikan ekonomi kita mencapai seperti yang diunjurkan KDNK negara pada 2021," katanya. 

 

Dalam pada itu, Sahar berkata, dalam membuat unjuran hasil untuk taksiran 2021, kerajaan melihat kepada pasaran semasa pada tahun berkenaan. 

 

"Kita mengunjurkan kadar pekerjaan adalah tinggi pada tahun hadapan sebanyak 1.8% manakala kadar pengangguran dijangka menurun daripada 4.2% kepada 3.5%," katanya. 

 

Menurutnya, perkara-perkara berkenaan diambil kira bagi menentukan anggaran cukai sebanyak 30% untuk cukai pendapatan memandangkan ia dikutip daripada mereka yang mempunyai pekerjaan. 

 

"Atas sebab itu, kita mengambil kira unjuran tersebut berdasarkan pasaran semasa yang akan berlaku pada 2021.

 

"Ini bukan masalah kepada asas ekonomi kerana petunjuk-petunjuk ekonomi negara adalah jelas. Kita berada di landasan yang betul," katanya. - DagangNews.com