Skip to main content

 Blockchain – Perintis ke Arah Perubahan

Oleh RUSLENA RAMLI
 

 

KINI telah ramai pihak telah mula menerima kelebihan teknologi blok rantai (blockchain), walaupun ada segelintir pihak yang masih mengabaikannya.

 

Teknologi blok rantai telah berjaya menerokai industri ekonomi selain daripada sektor kewangan berikutan menawarkan manfaat seperti  keselamatan yang dipertingkatkan, ketelusan yang lebih tinggi, kebolehkesanan dan kecekapan yang ditambah baik.

 

Menurut laporan Market Sizing Tool dari CB Insight, perbelanjaan tahunan untuk teknologi blok rantai dijangka mencecah AS$16 bilion menjelang tahun 2023.  

 

Mengambil kira sebanyak AS$8.7 bilion pelaburan blok rantai dan mata wang kripto telah dibelanjakan pada suku pertama 2021, dianggarkan sebanyak AS$16 bilion adalah bertujuan untuk pelaburan masa hadapan.

 

Menyedari perkara ini, kerajaan Malaysia, melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), sedang bekerjasama dengan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk melancarkan program, inisiatif dan geran yang menyokong pembangunan ekosistem teknologi negara dan industri Teknologi Kewangan (FinTech) secara mampan.

 

Melalui Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5 (DIF5) dan Pejabat Pelaburan Digital (DIO), MDEC bersedia untuk memacu pelaburan digital ke Malaysia, dengan memberi penekanan kepada blok rantai sebagai salah satu daripada lima teknologi tumpuan utama.

 

Rajah 1: Anggaran data pemilikan mata wang kripto untuk Malaysia pada akhir tahun 2020

mdec
Sumber: Triple A

 

 

Ketika dunia mula menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan baharu kesan daripada pandemik COVID-19, keutamaan telah diberi kepada penyelesaian yang dipacu teknologi dalam pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

 

Selaras dengan perubahan landskap semasa, IIB Ventures, anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Berhad (IIB), melancarkan Pertukaran Inovasi dan Teknologi Global Iskandar (IGNITE) pada Julai 2021, dengan matlamat untuk membawa golongan pakar inovasi bersama-sama dalam berkongsi penyelesaian inovatif, pemikiran dan pengetahuan tentang teknologi baharu muncul.

 

Saya bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada barisan syarikat, penggubal dasar, pemboleh industri dan peminat teknologi dalam persidangan IGNITE BLOCKCHAIN yang telah diadakan pada 28-29 September 2021 lalu.

 

Sebagai pemangkin untuk membina ekonomi digital Malaysia, MDEC memainkan peranan strategik dalam mengukuhkan cadangan nilai unik Malaysia untuk menjadi Nadi digital ASEAN.

 

Bagi menyokong perjalanan penting ini, saya telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya dengan penggiat yang sedang berusaha untuk membina ekosistem industri blok rantai tempatan dengan lebih kukuh.

 

medini

 

Blockchain Village at Medini (BV@M), IIB Ventures Sdn Bhd

Peneraju pembangunan ekosistem industri blok rantai di Malaysia ialah IIB Ventures Sdn Bhd, menerusi inisiatif Blockchain Village at Medini (BV@M).

 

BV@M berusaha untuk membangun dan mewujudkan ekosistem blok rantai di Bandaraya Medini, Johor, dengan matlamat untuk menjadi tarikan bagi pelabur dan pencari bakat yang berminat dengan pertumbuhan blok rantai di Malaysia.

 

Setakat ini, platform berkenaan telah berjaya menarik enam pemain blok rantai serantau dan tempatan, memperoleh 1,045 pekerjaan dengan pelaburan berjumlah RM323 juta.

 

Naib Presiden, Tarikan Pelaburan di IIB Ventures Sdn Bhd, Mohd Ibrahim Abdul Majid berkata, pandemik telah menyebabkan seluruh dunia bangkit untuk mengadaptasi teknologi digital sepenuhnya dengan pantas.

 

‘’Satu daripada teknologi berkenaan ialah blok rantai, di mana ia telah mentakrifkan semula sektor ekonomi untuk menjadi lancar secara digital dan direkodkan dalam sistem terbuka,” katanya.

 

Merentasi pelbagai sektor seperti sektor kewangan, kesihatan, insurans, takaful dan juga kewangan sosial (seperti kutipan dan pengagihan pembayaran zakat), blok rantai berpotensi membawa perubahan besar kepada industri masing-masing.

 

Menurut Ibrahim, klebihan utama blok rantai ialah keupayaannya untuk mengasingkan platform sedia ada tanpa pengawasan pusat dan daripada segi kelamatan siber, ia membantu menghapuskan penipuan yang telah menjadi masalah utama dalam industri.

 

‘’Apabila dunia beransur pulih daripada wabak itu, saya amat percaya blok rantai akan menjadi elemen digital penting yang seterusnya di Malaysia,’’ ujar beliau.

 

 

Rajah 2: Jumlah aktiviti pelaburan global (VC, PE, M&A) dalam rantaian blok dan mata wang kripto 2018–Suku Pertama 2021 dan jangkaan untuk 2023

mdec
Sumber: Pulse on Fintech 1H 2021 KPMG dan CB Insights

 

 

CreateWills Sdn Bhd

CreateWills memulakan operasi pada 2018 sebagai platform penyediaan wasiat dalam talian dengan jangkauan geografi di Malaysia, Indonesia dan United Kingdom. Ia menawarkan penyediaan wasiat konvensional dan Islam.

 

Proses digitalnya yang lancar telah memberi keselesaan kepada bakal pengguna, kerana perancangan harta pusaka telah menjadi sangat penting terutamanya dengan kesan faraid bagi umat Islam. Algoritma khas yang dibangunkan oleh CreateWills memudahkan pengguna untuk merancang pengagihan warisan dan kekayaan. Secara kumulatif, CreateWills telah berjaya mengembangkan pangkalan penggunanya kepada 12,000 individu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CreateWills, Raymond Gabriel berkata, bila nilai manfaat [blok rantai]  memperoleh momentumnya, pihaknya akan mengintegrasikan blok rantai untuk mengukuhkan kebolehan unik CreateWills.

 

“Selain daripada model penilaian biasa, kami juga sedang meneliti aplikasi blok rantai yang lain. Cabaran industri ialah pengesahan wasiat dan litigasi berkaitan wasiat yang sering mencabar ketulenan wasiat. Melalui blockchain dan teknologi lain, kami berharap dapat menangani isu ini,” ujarnta.

 

Finterra Technologies

Finterra ialah syarikat FinTech yang pakar dalam aplikasi Islam berasaskan blok rantai. Diperbadankan pada 2017, syarikat ini telah mengembangkan kehadirannya di Malaysia, Singapura, Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu dan India.

 

Berikutan kesan COVID-19, sektor FinTech Islam dan sektor teknologi berkaitan telah menjadi salah satu pemangkin yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Di antara inisiatif blok rantai Finterra ialah memberi tumpuan kepada wakaf yang telah mendorong ciri uniknya ini ke arena global.

 

Produk utamanya, Rantaian Wakaf, telah berjaya dalam menangani isu wakaf selama beberapa dekad yang lalu seperti kebertanggungjawaban aset, kecairan, salah urus dan ketelusan.

 

Pengasas, Finterra. Hamid Rashid berkata, pihaknya hanya memanfaatkan sebahagian kecil sahaja daripada kebolehan blok rantai.

 

‘’Sebagai peneraju pasaran, Finterra berusaha untuk kekal berinovatif dalam penyelesaian kewangan Islam kami. Pemusatan Kewangan Islam merupakan kunci untuk mempercepatkan pendemokrasian dan keterangkuman bagi masyarakat yang kurang bernasib baik ke arah perkhidmatan kewangan Islam,” katanya.

 

``Semasa kami membangunkan cadangan nilai yang kukuh untuk ekonomi digital Malaysia, blok rantai ibarat perintis kepada perubahan, yang boleh menjadi pemangkin dalam memacu matlamat ke hadapan,’’ ujar beliau. – DagangNews.com
 

 

ruslena ramli
RUSLENA RAMLI adalah Pengarah, Teknologi Kewangan dan Ekonomi Digital Islam, MDEC