BNM kawal selia Tabung Haji sementara tunggu siasatan RCI selesai - MoF | DagangNews Skip to main content

BNM kawal selia Tabung Haji sementara tunggu siasatan RCI selesai - MoF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Usaha kawal selia Lembaga Tabung Haji (TH) dari sudut pengambilan deposit serta pengurusan risiko dan kecairan di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) hanya satu penyelesaian interim atau sementara waktu sehingga dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan selanjutnya.

 

Kementerian Kewangan juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan kawal selia tersebut juga tidak akan mengubah sifat asal TH khususnya dalam pengurusan jemaah haji dan kekal melaksanakan fungsinya sebagaimana termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). 

 

Jelas kementerian itu lagi, hal ehwal haji masih kekal di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Lembaga Pengarah dan badan pengurusannya tetap mempunyai tanggungjawab utama dalam menentukan hala tuju institusi itu, serta pengurusan dan operasi haji.

 

“Kerajaan tetap menjamin wang simpanan pendeposit dalam TH di bawah Akta 535, maka amat wajar simpanan pendeposit ini dikawal selia dengan lebih baik untuk memastikan bakal jemaah haji akan dapat mengerjakan Rukun Islam kelima, dan TH dapat terus menjana pendapatan dari pelaburan yang patuh syariah. 

 

“Penambahbaikan kawal selia TH adalah selaras dengan hasrat kerajaan supaya TH kembali kepada mandat asal penubuhannya iaitu menguruskan simpanan pendeposit untuk tujuan menunaikan haji, di samping simpanan untuk pelaburan.

 

“Penetapan kawal selia di bawah BNM yang masih berlandaskan konsep syariah akan memantapkan tadbir urus dan memastikan tiada penyalahgunaan dana yang boleh memaksa kerajaan menggantikan wang pendeposit disebabkan jaminan kerajaan,” jelas Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan. 

 

TH merupakan sebuah institusi kewangan yang dianggap penting kepada sistem kewangan Malaysia, berikutan jumlah depositnya yang kini mencecah RM82 bilion dan saling hubung rapat dengan sistem kewangan, terutamanya sebagai pemegang saham terbesar Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam). 

 

Sehubungan itu, deposit mencecah RM82 bilion tersebut yang merupakan 10% daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam negara perlu ditadbir dengan baik berteraskan konsep semak dan imbang, kerana sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam, tambah kementerian itu lagi. 

 

Kementerian Kewangan memberi amaran bahawa pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam dan pergolakan ke atas sistem kewangan Islam Malaysia.

 

Kementerian Kewangan menegaskan bahawa skop pengawalseliaan BNM pada waktu ini sementara menunggu selesainya RCI adalah berbeza daripada peraturan am yang dipatuhi oleh institusi perbankan lain. 

 

Ujarnya lagi, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah dan individu yang berpengetahuan, berpengalaman dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

 

Dengan memanfaatkan kepakaran majlis ini, kata Kementerian Kewangan, persepsi berhubung konsep riba bagi meraih pulangan yang terbaik dari pelbagai pelaburan untuk manfaat pendeposit, tidak akan timbul sama sekali. 

 

“Kementerian Kewangan juga ingin memaklumkan bahawa kawal selia sesebuah institusi yang strategik dan menyentuh hak rakyat adalah penting di atas prinsip semak dan imbang, serta tadbir urus yang berhemah, selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. 

 

“Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu dan telah digunapakai secara meluas di Malaysia. Contohnya, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) yang mempunyai akta tubuh masing-masing , serta anak syarikat TH sendiri iaitu Bank Islam, yang kesemuanya masih di bawah kawal selia BNM berdasarkan kepentingan sistemik mereka. 

 

“Solusi interim ini adalah penting untuk melindungi hak dan kepentingan pendeposit sepenuhnya sementara menunggu dapatan RCI dibentangkan,” tambah kementerian itu. - DagangNews.com