CENDANA luluskan RM19 juta di bawah PENJANA, PRISMA | DagangNews Skip to main content

CENDANA luluskan RM19 juta di bawah PENJANA, PRISMA

KUALA LUMPUR 6 Sept - Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) telah meluluskan RM19 juta di bawah inisiatif PENJANA dan PRISMA (inisiatif Belanjawan 2021) untuk mencipta peluang pekerjaan bagi lebih 6,000 rakyat Malaysia dalam tempoh 12 bulan lalu.

 

Program-program ini telah memberi manfaat kepada 1,000 seniman dan pekerja budaya, mewujudkan peluang pekerjaan untuk lebih daripada 14,000 rakyat Malaysia, serta meningkatkan tahap kemahiran 13,000 pengamal sejak penubuhannya pada tahun 2017.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, kesenian dan budaya seumpama benang yang menghubungkan rakyat Malaysia dari semua latar belakang.

 

''Dengan sokongan yang diberikan, warga CENDANA dan saya berharap dapat terus berkhidmat untuk komuniti seni dan memperkukuhkan ekonomi seni budaya bagi setiap lapisan masyarakat," katanya bersempena sambutan ulang tahun keempat agensi tersebut, semalam.

 

 

izan satrina
Izan Satrina Mohd Sallehuddin

 

 

Sejak penubuhannya pada September 2017, CENDANA giat berusaha melaksanakan, menyampaikan dan menyokong melalui pelbagai program dan inisiatif yang dirancang khas untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan perkembangan sektor seni budaya Malaysia.

 

Antara program dan inisiatif yang dimulakan dan diterajui oleh CENDANA termasuk ‘Art in the City’, Panggung Rakyat, skema Pendidkan Seni, Akademi Ekonomi Seni Budaya, serta pelbagai bentuk program pembiayaan untuk seni persembahan, muzik bebas, seni visual dan kraf.

 

Perayaan Ulang Tahun keempat bertemakan ‘Retrospektif 4 Tahun’ sejajar dengan peranan CENDANA memacu ekonomi seni budaya Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab yang dikenali dengan kehebatan seni dan senimannya.

 

Teras tema ini memberi penekanan kepada keterlihatan berterusan bagi seni budaya Malaysia termasuk memastikan masyarakat dapat terus menikmati dan menghayati keindahan seni budaya Malaysia.

 

Sepanjang empat tahun ini, CENDANA telah berkolaborasi dengan pelbagai pihak termasuk seniman dan pekerja budaya serta rakan pihak awam dan swasta. Kolaborasi ini memainkan peranan penting dalam mempermudahkan pelaksanaan pelbagai program, termasuk memberi pendedahan profesionalisme kepada seniman dan organisasi seni, mencipta peluang untuk memperluaskan lagi bilangan penonton baharu serta memperkukuhkan hubungan langsung dengan pelbagai seniman, pekerja budaya dan pihak berkepentingan di seluruh Negara.

 

Antara kolaborasi CENDANA ialah usahasama dengan Yayasan Sime Darby, Think City Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, PUSAKA, Musicians for Musicians Malaysia, BeKraf Indonesia, Adelaide Festival Trust Centre, New Delhi TV dan Indian Ocean Craft Triennale.

 

CENDANA juga telah mengusahakan pelbagai program pembiayaan tahunan untuk penggiat seni yang bersesuaian untuk pengkarya individu, kolektif, dan organisasi. Pembiayaan sebegini sangat penting untuk mendukung pembangunan dan penghasilan karya di pelbagai peringkat termasuk eksperimentasi dan ujian yang berkaitan dengan kegiatan serta aktiviti ekonomi seni budaya.

 

Usaha ini merangkumi pendedahan kepada jaringan yang diperlukan, pembangunan seniman dan pekerja budaya, bertujuan untuk memastikan kelestarian kumpulan sasaran.

 

‘Retrospektif 4 Tahun’ dianjurkan secara atas talian melalui platform Facebook CENDANA awal hari ini. Penonton juga dihiburkan dengan persembahan hebat daripada alumni penerima manfaat CENDANA termasuk Hands Percussion (yang pernah tampil di pelancaran awal CENDANA pada bulan September 2017), Syarikat Kwang Tung Dance Company, Myo, dan The Impatient Sisters.

 

 

red hong yi
RED HONG YI (dua dari kiri) bersama pasukannya menunjukkan karya seni beliau berjudul `Tanah'.

 

 

Turut dipersembahkan ialah karya seorang penerima manfaat CENDANA iaitu Red Hong Yi, seorang artis dari Sabah yang dikenali dengan penghasilan karya seni yang menggunakan bahan-bahan alternatif (“artist who paints without a paintbrush”).

 

Red Hong Yi mengambil masa dua belas minggu untuk menyiapkan gabungan tiga karya beliau yang berjudul ‘Tanah’. Sempena sambutan ‘Retrospektif 4 Tahun’ ini, salah satu daripada koleksi tersebut, telah tercipta hasil kerjasama 10 orang artis termasuk 4 orang perantis CENDANA yang ditempatkan di Studio Hong Yi .

 

Karya beliau menggunakan anggaran tujuh (7) kg pelbagai jenis dan warna pasir tanah dari Semenanjung dan Malaysia Timur, kulit kayu dan yang kemudiannya dilapisi dengan bahan resin. Karya seni ini terhasil melalui penyelidikan selama 10 bulan dan temuramah para veteran perang termasuk Mejar Andrew Teoh Hoot Aun, Leftenan Kolonel Linus Lunsong Janti, Mejar Patrick Wong Sing Nang dan Kapten Panirchellvum Velaitham.

 

Karya seni berkenaan menggambarkan 12 orang perwira Angkatan Tentera Malaysia, pada sekitar tahun 1960-an yang menceritakan kisah pengorbanan pahlawan-pahlawan yang tidak dikenali, berjuang demi kemerdekaan, kehormatan dan keselamatan Malaysia. Ianya juga mengingatkan kita tentang berapa ramai orang isteri yang seharusnya dianggap srikandi yang tidak didendang kerana sanggup berkahwin dengan perwira yang berkemungkinan besar tidak akan pulang ke pangkuan keluarga. - DagangNews.com