CEO Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad dilantik Profesor Adjung UTM AHIBS | DagangNews Skip to main content

CEO Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad dilantik Profesor Adjung UTM AHIBS

Syed Feizal Syed Mohammad

Syed Feizal Syed Mohammad.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), Syed Feizal Syed Mohammad dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS).

 

MSM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan yang bermula pada 15 Jun 2021 itu adalah bagi tempoh setahun.

 

Sebagai Profesor Adjung, Syed Feizal akan menyumbang kepada UTM AHIBS dalam aspek pengetahuan industri  khususnya berkaitan kepimpinan, perniagaan, pengurusan, inovasi serta keusahawanan. 

 

Beliau juga akan menganjurkan sesi syarahan, seminar dan dialog bersama kakitangan akademik dan para pelajar AHIBS.

 

Mengulas berkaitan pelantikan tersebut, beliau amat menghargai dan berbesar hati di atas peluang yang telah diberikan oleh pihak UTM AHIBS untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan kemahiran dalam memastikan kesediaan dan melahirkan pemimpin-pemimpin industri masa hadapan.

 

"Saya percaya pendekatan universiti melalui kerjasama industri-akademik ini akan mengoptimumkan pembelajaran, kajian dan tesis para pelajar bagi projek-projek MBA mereka beserta aplikasi kemahiran secara praktikal.

 

"Saya sentiasa mencari peluang untuk menyumbang semula kepada pendidikan dan platform ini telah memberikan saya ruang untuk berkongsi ilmu serta bertukar pendapat bersama rakan-rakan kepimpinan lain yang turut dilantik juga pandangan dari pemimpin-pemimpin masa hadapan," katanya lagi.

 

MSM baru-baru ini telah melancarkan Program Prodigi MSM sebagai salah satu langkah sumbangan kepada komuniti terutamanya bagi lepasan universiti yang masih belum mendapatkan pekerjaan berikutan situasi ekonomi semasa.

 

Program berkenaan menyasarkan untuk memperkasakan kebolehpasaran graduan-graduan muda selaras dengan peluang yang kami telah sediakan untuk pembangunan berterusan melalui latihan pekerjaan, kemahiran insaniah serta bimbingan pakar.

 

Di akhir program, Prodigi yang berkelayakan turut berpeluang untuk diserap sebagai tenaga kerja MSM atau mendapatkan pekerjaan di tempat lain berdasarkan kesediaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan. - DagangNews.com