KUALA LUMPUR 29 Nov - AirAsia X Berhad (AAX) yang kini dalam usaha untuk memacu strategi bagi menangani status Nota Amalan 17 (PN17), mengumumkan cadangan pengambilalihan cabang penerbangan Capital A Berhad iaitu AirAsia Berhad (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), yang terdiri daripada pegangan saham AAAGL masing-masing dalam AirAsia Indonesia, AirAsia Filipina dan AirAsia Thailand.
Selepas pengambilalihan itu, AAB, AAAGL dan AAX akan membentuk kumpulan penerbangan yang disatukan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan kami dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.
Bagaimanapun, semua syarikat penerbangan di bawah konsortium itu akan mempunyai operasi berasingan. Pengambilalihan syarikat penerbangan jarak dekat akan mewujudkan sinergi dengan operasi jarak pertengahan AAX.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, sempena pemulihan mereka merentas semua metrik utama, pihaknya juga berusaha untuk memacu strategi pelan regularisasi bagi menangani status PN17, selepas Bursa Malaysia Securities Berhad meluluskan tempoh lanjutan sehingga 28 April 2023 untuk mengemukakan cadangan pelan regularisasinya.
AAX telah membabitkan AmInvestment Bank Berhad, Messrs Mah-Kamariyah & Philip Koh, Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd, Messrs Ernst & Young PLT, Smith Zander International Sdn Bhd, dan BDO Governance Advisory Sdn Bhd untuk menasihati dalam pelbagai aspek untuk menyelaraskan status PN17 tersebut.
AAX menjangka untuk mengumumkan pelan regulasisasinya kepada Bursa Malaysia Securities pada bulan Januari 2023, diikuti dengan penyerahan rancangan secara rasmi untuk kelulusan pada bulan Februari 2023.
"Selain itu, kami akan dapat memanfaatkan rangkaian luas kumpulan yang merangkumi lebih 130 destinasi dan membuka peluang untuk mempercepatkan pemulihan kami selepas penyusunan semula tersebut selesai.
“Strategi ini bukan sahaja dijangka mengukuhkan aliran tunai kami, malah mewujudkan nilai untuk syarikat serta pemegang saham kami dalam jangka panjang. Kami akan membuat pengumuman berhubung dengan perkembangan material selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan untuk pelan regularisasi yang dicadangkan, termasuk daripada lembaga pengarah AAX, Bursa Malaysia Securities, pemegang saham AAX dan pihak berkuasa lain yang berkaitan, AAX menjangka untuk menyelesaikan pelaksanaan pelan regularisasi menjelang bulan Julai 2023.
Baru-baru ini, AAX telah mencatat baki tunai sebanyak RM79.5 juta untuk suku kelimanya yang berakhir pada 30 September 2022, melonjak lebih tiga kali ganda berbanding RM25.1 juta pada suku sebelumnya.
AAX juga mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM25.4 juta manakala keuntungan sebelum cukai bagi tempoh tersebut berjumlah RM23.8 juta. - DagangNews.com