CGS-CIMB Research naikkan unjuran TIV 2023 kepada 665,000 daripada 640,000 unit | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research naikkan unjuran TIV 2023 kepada 665,000 daripada 640,000 unit

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jan - CGS-CIMB Research menaikkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 665,000 unit daripada 640,000 unit untuk 2023 selepas sektor automotif mencatatkan jualan cemerlang pada 2022.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan terdapat penurunan sebanyak 7.7% pada 2023 kesan ketiadaan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cabaran makroekonomi akibat ketidaktentuan pemulihan ekonomi global.

 

Sebagai tambahan katanya, sebahagian daripada pengeluar kenderaan mula menaikkan harga jualan bermula Januari 2023 akibat kenaikan harga barangan, komponen dan tarif elektrik.

 

"Walaupun prospek TIV lebih rendah, kami menjangkakan jenama kereta nasional, Proton dan Perodua akan beraksi lebih baik berbanding segmen bukan nasional, memandangkan pelbagai pelancaran model baharu pada 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan TIV lebih rendah pada 2023 iaitu 650,000 atau kurang 9.8% berbanding tahun sebelumnya disebabkan kekangan bekalan yang berterusan dan peningkatan kadar faedah.

 

"Kami melihat keputusan kerajaan untuk menangguhkan peraturan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV) baharu selama dua tahun dari 2023 hingga 2025 sebagai membantu membendung kenaikan purata harga jualan dan mengekalkan permintaan pada 2023," katanya.

 

Terdahulu, TIV pada Disember 2022 meningkat sebanyak 17.6% dari bulan ke bulan bagi merekodkan jualan sebanyak 76,657 unit didorong permintaan yang lebih kukuh daripada segmen kenderaan penumpang dan komersial dengan pengeluar kenderaan meningkatkan pengeluaran serta penghantaran untuk memenuhi pesanan tertunggak.

 

Bagi suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22), sektor itu mencatatkan rekod TIV suku tahunan sebanyak 203,758 unit mengatasi rekod sebelumnya iaitu 190,056 unit pada 4QFY21.

 

"Kami menjangkakan TIV dari bulan ke bulan yang lebih rendah pada Januari 2023 dengan hari operasi yang lebih sedikit disebabkan cuti Tahun Baharu Cina," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan Bermaz Auto sebagai pilihan utama dalam sektor itu. - DagangNews.com