KUALA LUMPUR 9 Dis - Datasonic Group Bhd. meneroka kerjasama bersama Kementerian Perancangan Bandar, Perumahan dan Pembangunan Wilayah (MUHAT) Republik Guinea dengan memeterai satu memorandum perjanjian (MoA).
Kerjasama itu membabitkan gabungan kapasiti dan sumber dalam isu berkaitan percetakan dokumen yang selamat, pendigitalan dan penambahbaikan penyelesaian pengurusan tanah dan perkhidmatan Republik Guinea (eLandROG).
Menerusi kerjasama itu, Datasonic akan menjadi kontraktor utama manakala MUHAT sebagai pemilik projek eLandROG yang dijangka memakan masa selama 10 tahun dengan lima tahun tambahan sebagai pilihan lanjutan.
"Datasonic akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan ke atas projek yang akan dijalankan dan model ekonomi serta memastikan pemindahan kemahiran.
"Skop kerja bagi projek ini termasuklah membina, melaksanakan dan menyediakan khidmat sokongan teknikal bagi eLandROG dan mengeluarkan, menyediakan dan dan memperibadikan dokumen tanah yang selamat," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Menurut kumpulan, kadar perkongsian keuntungan adalah dalam nisbah 60% untuk MUHAT manakala 40% bagi Datasonic.
Jelasnya, penyertaan dalam MoA itu dapat mewujudkan peluang kepada Datasonic untuk mengembangkan lagi perniagaannya dan mempromosikan produk dan perkhidmatan kumpulan di Republik Guinea.
Datasonic menjangkakan perjanjian itu tidak memberi sebarang kesan material kepada terbitan modal saham dan pemegangan utama syarikat termasuklah aset bersih, penggearan, hasil dan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
"Kesan kewangan daripada MoA ini hanya boleh ditentukan selepas perjanjian rasmi dicapai antara kedua-dua pihak," jelasnya. - DagangNews.com