KUALA LUMPUR 7 Dis – Gamuda Bhd. bercadang untuk memperoleh 30% kepentingan dalam ERS Energy Sdn. Bhd. melalui langganan 4,285,714 saham biasa baharu dengan pertimbangan tunai berjumlah RM200 juta.
Ini menyaksikan Gamuda menandatangani perjanjian langganan dan pemegangan saham dengan ERS Energy yang akan menyaksikan ia menjadi syarikat bersekutu 30% milik Gamuda.
ERS Energy ketika ini merupakan rakan usaha sama Gamuda dalam NEDA Pekan Sdn. Bhd. untuk membangunkan loji tenaga solar 39MW (29.99 MWac) di bawah rangka kerja Pengaturan Penghantaran Dipertingkat (NEDA) Baharu.
"Hasil daripada langganan saham akan digunakan untuk pelaburan langsung ERS Energy ke dalam aset tunai penjanaan solar, termasuk NEDA Pekan serta modal kerja untuk peluang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengembangan dalam pasaran serantau.
"Cadangan pelaburan ERS Energy akan dipenuhi secara tunai yang dibiayai daripada dana yang dijana daripada dalaman dan pinjaman," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
ERS Energy, ditubuhkan di Malaysia pada 28 Ogos 2009, ialah syarikat kejuruteraan, perolehan pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar yang terkemuka dan salah satu peserta awal dalam segmen solar di Malaysia.
Syarikat itu kini merupakan salah satu pemain EPCC solar terbesar di Malaysia dan rantau ini, dengan hampir 700MW projek solar berskala besar telah disiapkan.
Beserta dengan projek EPCC solar fotovoltaik (PV), ERS Energy juga mengendalikan unit perniagaan yang memfokuskan pada penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik, operasi dan penyelenggaraan sistem solar PV, penyelesaian storan tenaga solar PV, perdagangan dan pemborongan peralatan solar PV.
Menurut Gamuda, harga langganan, yang menilai ERS Energy pada nilai ekuiti prawang sebanyak RM467 juta telah diperoleh atas dasar penerimaan pembeli-penjual selepas mengambil kira, antara lain, gandaan dagangan syarikat yang setanding, unjuran keuntungan, pertumbuhan, serta prospek masa depan syarikat itu dalam sektor RE.
Ia menjelaskan, setelah selesai cadangan dalam ERS Energy, selain daripada 30% kepentingan, Gamuda juga akan secara efektif memegang 64% pegangan saham dalam NEDA Pekan.
"Memandangkan rangka kerja NEDA akan membentuk asas bagi perjanjian pembelian tenaga maya (VPPA), penyertaan dalam NEDA Pekan akan meletakkan Gamuda dan ERS Energy pada kedudukan pendahulu Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) yang diumumkan baru-baru ini, menggunakan mekanisme VPPA untuk membolehkan pengguna korporat membeli RE secara maya," katanya.
Melangkah ke hadapan, Gamuda berkata, ERS Energy akan mempercepatkan pertumbuhannya dalam ruang RE, dengan meluaskan pangkalan pelanggan ke geografi baharu dan perniagaan pelengkap di sepanjang rantaian nilai RE.
Kumpulan itu menjangkakan cadangan tersebut tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham dan pemegangan utama Gamuda, termasuk aset bersih, penggearan, hasil dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023. - DagangNews.com