Keputusan BNM hentikan seketika kenaikan OPR, rangsang prospek sektor hartanah bagi 2023 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Keputusan BNM hentikan seketika kenaikan OPR, rangsang prospek sektor hartanah bagi 2023 - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Sektor hartanah dijangka mencatat perkembangan yang lebih baik tahun ini berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada 18 Januari lalu, membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan kadar itu pada paras 2.75% selepas empat kenaikan secara berturut-turut sepanjang 2022 daripada paras terendah 1.75%.

 

Keputusan MPC mengekalkan penanda aras pinjaman itu adalah luar jangkaan susulan sebahagian besar penganalisis meramalkan kenaikan ke paras sebelum pandemik iaitu kenaikan 0.25% lagi.

 

Penganalisis HLIB, Tan Kai Shuen berkata, kenaikan OPR yang terhenti seketika menandakan penurunan dalam kenaikan dan meningkatkan kebarangkalian bahawa kadar OPR terminal mungkin berakhir pada julat yang lebih rendah iaitu 3% (bukannya 3.25%).

 

"Seperti yang telah kami ketengahkan sebelum ini, kitaran kenaikan kadar ini selepas pandemik tidak dijangka oleh pasaran dan pembeli rumah.

 

"Ini memandangkan dari segi sejarah, OPR sentiasa berlegar di sekitar julat 3 hingga 3.25%, justeru, pembeli rumah tidak mungkin mengambil kira dalam persekitaran kadar rendah sebagai kes asas mereka dalam keputusan pembelian rumah.

 

"Bagaimanapun, kenaikan kadar yang terhenti seketika ini mempunyai kesan dan akibat. Malah, ia mungkin perkembangan paling penting dalam sektor hartanah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau berpendapat, keputusan BNM itu memberi petanda baik kepada permintaan perumahan, lebih-lebih lagi untuk hartanah mampu milik hingga pertengahan, di mana pembeli lebih sensitif terhadap kadar faedah.

 

Pada masa sama, ia juga menyediakan ruang bernafas yang amat diperlukan untuk syarikat pemaju hartanah dengan tahap hutang tinggi dalam denominasi ringgit.

 

Selain OPR, firma itu juga mendapati terdapat beberapa faktor yang turut mempengaruhi sektor hartanah terutamanya kemasukan pekerja asing semakin dipermudahkan, pembukaan semula sempadan China dan pengukuhan ringgit.

 

Susulan prospek cerah dalam sektor hartanah, HLIB menyemak naik penarafannya kepada 'overweight' daripada 'neutral' sebelum ini. 

 

Namun begitu, katanya, dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam julat sederhana antara 4 hingga 5% seperti yang diunjurkan oleh BNM, ini tidak mungkin mewujudkan 'gelombang' yang akan menyaksikan peningkatan ketara dalam permintaan untuk keseluruhan sektor ini.

 

"Bagaimanapun, masih terdapat prospek positif dalam sektor ini yang sepatutnya menyaksikan permintaan lebih berdaya tahan termasuk hartanah mampu milik hingga pertengahan di Lembah Klang; dan perbandaran tanah mampu milik di kawasan pinggir Lembah Klang.

 

"Kedua-dua segmen ini akan mendapat manfaat daripada segmen pendapatan sederhana yang semakin meningkat di wilayah Lembah Klang," katanya.

 

Pilihan utama HLIB bagi sektor ini ialah Sunway Group Bhd, IOI Properties Group Bhd. dan OSK Holdings Bhd. - DagangNews.com