Malaysia perlu 45% pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara terkemuka dunia - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia perlu 45% pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara terkemuka dunia - PM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 45% pekerja berkemahiran tinggi sekiranya mahu bersaing dengan negara-negara terkemuka dunia. 

 

Ismail Sabri berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan komited menyediakan infrastruktur terbaik untuk memacu inovasi tempatan dan apa yang diperlukan sudah pasti sebuah lokasi sebagai hab inovasi dengan infrastruktur yang bersepadu.

 

Beliau berkata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peratusan pekerja berkemahiran tinggi di Malaysia hanya mewakili 29.6% sahaja.

 

"Sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan pemangkin sosioekonomi yang mampu meningkatkan penjanaan pengetahuan, penciptaan kekayaan, kesejahteraan masyarakat, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan.

 

"Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, tumpuan khusus perlu diberikan kepada STI khususnya inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang perlu dikomersialkan sama ada dibiayai kerajaan mahupun swasta. 

 

"Kegiatan pengkomersialan membolehkan penawaran produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, serta mencipta pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

 

"Justeru, amat penting untuk kita merancakkan semula ekosistem teknologi dan inovasi, bukan sahaja menerusi bekalan bakat yang berterusan, tetapi juga berusaha mengurangkan 'brain drain' dalam kalangan bakat-bakat hebat tempatan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Ini bermakna negara memerlukan sebuah taman teknologi yang menjadi titik pertemuan pemegang taruh antaranya inovator, penyelidik dan pelabur bagi mengukuhkan ekosistem STI, selain mampu menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi memacu ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Pelan Induk Taman MRANTI, Bukit Jalil, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, bagi menyokong usaha-usaha pembangunan sektor inovasi, kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) bernilai RM5.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Beliau berkata, melalui National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), sebanyak 163 syarikat telah diluluskan dan menerima sokongan pembiayaan sebanyak RM67 juta, bantuan kawal selia, teknikal dan kepakaran.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) merupakan penyumbang terbesar kepada eksport negara dengan nilai sebanyak RM455.7 bilion pada tahun 2021 dan berpotensi besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi. 

 

"Melewati tempoh 50 tahun beroperasi, sektor E&E perlu diperkukuh dengan melahirkan lebih ramai bakat dan syarikat milikan tempatan; bukan hanya sekadar bergantung kepada pelaburan syarikat multinasional," katanya.

 

Beliau berkata, dalam mengharungi kepesatan kemajuan teknologi, ekosistem ekonomi digital negara memerlukan penglibatan erat sektor awam dan swasta. 

 

Katanya, kerajaan sentiasa menyambut baik pelaksanaan projek secara kerjasama sektor awam dan swasta dalam semua bidang, terutama yang memberikan impak positif serta manfaat besar kepada negara dan Keluarga Malaysia.

 

"Saya berharap jalinan kerjasama teknologi MIMOS dan rantaian Zetrix oleh MYEG dalam membangunkan Infrastruktur Blockchain Malaysia akan dapat meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dan mencambahkan idea yang lebih kreatif.

 

"Dengan pelancaran Pelan Induk Taman MRANTI dan penjenamaan semula MIMOS Berhad kepada MIMOS Global, saya yakin inisiatif ini akan melonjakkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi.

 

"Pada kesempatan ini, saya menyeru kepada para pelabur untuk memberi sokongan kepada usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekosistem inovasi antaranya menerusi pembiayaan, akses pasaran, serta kepakaran teknikal," katanya. - DagangNews.com