MYEG, MIMOS pacu infrastruktur teknologi blockchain di Malaysia | DagangNews Skip to main content

MYEG, MIMOS pacu infrastruktur teknologi blockchain di Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Okt - MYEG Services Bhd. bersama MIMOS Technology Solutions Sdn. Bhd. (MTSSB) akan membangunkan dan mengendalikan Lapisan 1 blok awam negara menggunakan teknologi blockchain Zetrix dan MIMOS, sebagai komponen Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI). 

 

Ini menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membawa aplikasi Web 3 generasi akan datang kepada sektor kerajaan dan komersial yang akan memacu Malaysia sebagai negara inovator teknologi terkemuka, dan memenuhi objektif dalam Pelan Hala Tuju Blockchain Nasional Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MTSSB, Faisal Ahmad berkata, kerjasama itu akan mempercepatkan pembangunan, penggunaan aplikasi dan perkhidmatan berkaitan blockchain dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

 

"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia dan syarikat di negara ini, boleh mendapat manfaat besar daripada penggunaan aplikasi dan perkhidmatan blockchain," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Zetrix ialah Lapisan 1 blockchain yang juga berfungsi sebagai infrastruktur utama dan supernod di luar China yang bersambung ke rangkaian nasional China, Xinghuo Blockchain Infrastructure and Facility (Xinghuo BIF).

 

Infrastruktur Lapisan 1 itu menempatkan penggunaan hos, protokol dan rangkaian yang digunakan terhadao kontrak pintar proprietari dan mekanisme konsensus Proof-of-Stake (PoS) yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

 

Dilancarkan ke Mainnet pada 15 April 2022, Zetrix kini menempatkan aplikasi diagihkan, atau DApps, seperti NFT Marketplace NFTPangolin dan perkhidmatan Pengecam Blockchain Zidentity.

 

MBI ialah elemen utama Pelan Hala Tuju Blockchain Kebangsaan yang telah dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada 9 Ogos 2022.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MYEG, Wong Thean Soon berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada pelan hala tuju blockchain nasional Malaysia dan yakin bahawa pembolehubah perdagangan blockchain akan membuka peluang yang lebih besar dan penggunaan kes ke arah revolusi teknologi sebenar.

 

"Generasi ekonomi akan datang adalah digital dan lejar yang diedarkan akan menjadi sumber kebenaran tunggal untuk semua perdagangan," jelasnya. - DagangNews.com