IPO di Malaysia kukuh, di sebalik impak pilihan raya terhadap pasaran ekuiti - Deloitte | DagangNews Skip to main content

IPO di Malaysia kukuh, di sebalik impak pilihan raya terhadap pasaran ekuiti - Deloitte

Farm Fresh Bhd. mencatat rekod sebagai penyenaraian terbesar bagi tahun ini di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Nov - Tawaran awam permulaan (IPO) di Malaysia bangkit daripada pandemik COVID-19 dengan mencatat peningkatan 102% dengan mengumpul hasil sebanyak AS$681 juta setakat 11 November 2022, demikian menurut Deloitte.

 

Dalam tempoh itu, ia menyaksikan 31 syarikat berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia berbanding 29 syarikat yang disenaraikan tahun lalu dengan mengumpul dana sebanyak AS$337 juta.

 

Lonjakan itu didorong oleh permintaan pelabur terhadap syarikat yang mempunyai asas yang baik.

 

Jumlah penyenaraian bagi Pasaran ACE, khususnya, meningkat dua kali ganda daripada 11 pada 2021 kepada 22 pada 2022 berikutan iklim ekonomi yang mengagumkan.

 

Kenaikan kadar faedah berpotensi menggalakkan lebih banyak syarikat yang mempunyai asas perniagaan yang baik untuk melaksanakan penyenaraian kerana mereka boleh memanfaatkan pasaran ekuiti untuk asas pendanaan yang pelbagai dan lebih murah.

 

Menurut Ketua Penasihat (Disruptive Events) Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon, walaupun pilihan raya memberi kesan terhadap pasaran IPO, namun masih terdapat syarikat yang stabil ingin memanfaatkan pasaran modal.

 

"Prestasi kukuh pada 2022, berlatarbelakangkan inflasi global, kenaikan kadar faedah dan ancaman kemelesetan, adalah bukti daya tahan pasaran modal Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

IPO
SUMBER : DELOITTE

 

 

Deloitte mendapati dengan momentum yang semakin perlahan sejak 2021, dana IPO yang dikumpul adalah lembap merentas pasaran modal di Asia Tenggara untuk tempoh 10 bulan setengah tahun ini, walaupun kiraan IPO dan permodalan pasarannya dijangka kekal stabil daripada tahun sebelumnya. 

 

Data yang dikumpul setakat 11 November 2022 menunjukkan syarikat-syarikat di Asia Tenggara mengumpul sebanyak AS$6.3 bilion daripada 136 IPO, susut 52% daripada AS$13.3 bilion yang direkodkan daripada 152 IPO pada tahun lalu.

 

Ini menunjukkan bilangan penyenaraian kecil yang lebih tinggi tahun ini, kebanyakannya daripada syarikat kecil yang memerlukan platform untuk mengumpul dana dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

 

Dengan hanya dua IPO hebat tahun ini - PT GoTo Gojek Tokopedia Tbk dan Insurans Hayat Thai - ini bermakna syarikat yang lebih besar bertahan dan menangguhkan penyenaraian mereka dengan menjangkakan keadaan pasaran yang lebih baik.

 

Laporan Deloitte juga mendapati pandemik COVID-19 mendorong kebanjiran pelabur runcit baharu ke pasaran saham dan akibatnya terdapat ledakan dalam pasaran IPO secara global pada 2021, dengan Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) menyaksikan jumlah rekod dana IPO yang diperoleh. 

 

Pasaran modal Asia Tenggara juga menikmati tahun yang berjaya pada 2021. Momentum ini sebaliknya perlahan pada tahun ini, walaupun Asia Tenggara mengharungi kejatuhan itu sedikit lebih baik dengan penurunan 52%, berbanding penurunan 95% dan 91% dalam hasil IPO di AS dan UK. - DagangNews.com