Petronas Gas kaji semula projek tangki simpanan ketiga LNG di Pengerang - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Petronas Gas kaji semula projek tangki simpanan ketiga LNG di Pengerang - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Nov - Petronas Gas Bhd. sedang menilai semula pendekatan pelaksanaan projeknya untuk tangki simpanan gas asli cecair (LNG) ketiga di Pengerang disebabkan kenaikan kos berpunca daripada harga bahan binaan yang lebih tinggi, demikian menurut AmInvestment Bank Research. 

 

Namun, menurut firma itu, kumpulan tetap komited untuk meneruskan projek tersebut, dengan jangkaan untuk mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) menjelang pertengahan 2023 (ditangguh daripada sebelum ini, pada akhir 2022).

 

"Pada tahun lalu, Petronas Gas yang memiliki kepentingan 65% dalam Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (PLNG2SB) telah menjemput bakal kontraktor untuk mengemukakan pernyataan minat yang tidak mengikat (EOI) untuk menggunakan tangki baharu yang dicadangkan dengan kapasiti pilihan 160,000 meter padu bagi perjanjian pajakan komersial selama 20 tahun," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam menyokong pertumbuhan pasaran baru muncul LNG di Asia, PLNG2SB sedang mempertimbangkan untuk membina tangki LNG tambahan (Tank 3) di Pengerang. 

 

Penggunaan Tank 3 adalah untuk LNG dibawa masuk dan disimpan semata-mata untuk tujuan pemindahan LNG.

 

AmInvestment berkata, peruntukan perbelanjaan modal (capex) bagi projek kumpulan sebanyak RM1.4 bilion secara beransur-ansur berkembang dengan semua projek berjalan mengikut jadual.

 

"Daripada jumlah ini, kami berpendapat projek Penggunaan Gas Semenanjung Selatan bernilai RM100 juta telah siap manakala sambungan utiliti ke PCC Oxyalkylates Malaysia juga mencapai peringkat akhir projek," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Petronas Gas dengan nilai wajar tidak berubah pada RM20.05 sesaham. 

 

Menurutnya, kumpulan masih menunggu keputusan Suruhanjaya Tenaga berhubung tarif bagi Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) terutamanya untuk segmen pengangkutan gas dan regasifikasi pada akhir tahun ini.

 

Untung bersih Petronas Gas bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut 26.7% kepada RM425.82 juta daripada RM580.84 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya tetapi pendapatan meningkat 9.6% kepada RM1.56 bilion daripada RM1.43 bilion.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022 meningkat 10.7% kepada RM4.53 bilion daripada RM4.15 bilion disumbangkan terutamanya hasil yang lebih daripada segmen utiliti berikutan kenaikan harga produk dan jumlah jualan elektrik yang lebih tinggi.

 

Setakat 11.03 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM16.84 sesaham. -DagangNews.com