Petronas, Petros teroka peluang kerjasama perkukuh Pelan Hala Tuju Gas Sarawak | DagangNews Skip to main content

Petronas, Petros teroka peluang kerjasama perkukuh Pelan Hala Tuju Gas Sarawak

Kedua-dua pihak juga berusaha untuk menggalakkan penyertaan syarikat Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang baharu ini. - Gambar : Jeremy Bezanger/Unsplash

KUALA LUMPUR 29 Okt - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menandatangani dua perjanjian penting dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berkaitan dengan peluang kerjasama berdasarkan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

 

Perjanjian pertama melibatkan Perjanjian Dasar Induk (HOA) untuk memperluas penggunaan gas asli di negeri itu bagi membekalkan 60 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) gas mulai 2026 kepada stesen jana kuasa turbin gas kitaran gabungan 400 MW yang dicadangkan di Miri.

 

Menerusi perjanjian itu, Petronas akan membangunkan sumber gas baharu serta infrastruktur luar pesisir dan daratan yang berkaitan untuk menyokong bekalan gas tambahan, sekali gus langkah ini menandakan bermulanya pembangunan Hab Miri seperti yang ditetapkan dalam pelan itu.

 

Sebagai tambahan kepada HOA tersebut, Petronas dan Petros akan bekerjasama rapat untuk mewujudkan penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai peluang perniagaan baharu melalui satu kajian pelan
hala tuju ekosistem CCS, dalam meletakkan Sarawak sebagai hab pensekuesteran serantau.

 

Kedua-dua pihak juga berusaha untuk menggalakkan penyertaan syarikat Sarawak dan pembangunan bakat tempatan dalam bidang baharu ini.

 

Untuk memformalkan usaha itu, satu Perjanjian Kerjasama Bersama (JCA) juga ditandatangani untuk memudahkan pengawasan pembangunan CCS dan pengoperasiannya di Sarawak, sebagai peralihan industri ke arah masa depan karbon rendah.

 

HOA dan JCA itu ditandatangani pada 19 Oktober lalu semasa majlis sambutan ulang tahun kelima Petros.

 

Dalam kenyataan semalam seperti dilapor Bernama, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata, sebagai rakan kongsi jangka panjang Sarawak, Petronas terus melakukan peranan dalam membangunkan industri minyak dan gas yang mampan dan progresif dalam landskap peralihan tenaga, menerusi projek berkelas dunia.

 

Katanya, projek berkelas dunia itu seperti pembangunan gas Kasawari, yang termasuk aplikasi teknologi pensekuesteran karbon.

 

“Pada masa sama, Petronas juga akan terus menarik pelaburan baharu ke dalam sektor huluan untuk menyokong peningkatan permintaan terhadap gas seperti yang dijangkakan dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak,” katanya.

 

Pada majlis yang sama, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), anak syarikat milik penuh Petronas menandatangani Perjanjian ‘Farm Out’ atau pajakan dengan Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn Bhd (PSEP), anak syarikat milik penuh Petros bagi penjualan 45% kepentingan penyertaan bukan operasi milik PCSB dalam Blok SK407 PSC. - DagangNews.com