RHB Investment jangka Mynews kembali untung pada suku pertama FY23 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment jangka Mynews kembali untung pada suku pertama FY23

Di Malaysia, CU dikendalikan oleh MyCU Retail Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Mynews Holdings Bhd. - Gambar : Facebook CU Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Nov - RHB Investment Bank menjangkakan Mynews Holdings Bhd. akan kembali mencatat untung pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (FY23).

 

Ini mendorongnya mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Mynews dengan harga sasaran pada 59 sen sesaham. 

 

Firma itu optimis terhadap usaha pemulihan kumpulan memandangkan prestasinya akan terus dirangsang oleh pengembangan rangkaian yang strategik, kecekapan yang lebih baik dan peningkatan berterusan bagi kedua-dua operasi jenama utamanya.

 

Menurutnya, Mynews mengekalkan sasaran untuk membuka 100 cawangan setahun dan memberi tumpuan untuk mencari lokasi yang bersesuaian bagi mengoptimumkan kecekapan. 

 

"Menyedari bahawa penggunaan di bandar adalah pemacu utama, pihak pengurusan yakin dengan keupayaannya untuk menunjukkan prestasi pada suku akan datang walaupun terdapat perbincangan pasaran mengenai kemelesetan, disokong oleh pengembangan geografinya.

 

"Kami memahami mengenai pecahan kedainya kini telah berkembang daripada 80% di Lembah Klang kepada kira-kira 70%, hasil pengembangannya ke utara dalam tempoh setahun lalu," katanya dalam nota kajian pada Jumaat lalu.

 

Pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2022, kerugian bersih Mynews mengecil kepada RM1.45 juta daripada RM14.92 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya apabila kerajaan menarik balik sekatan pergerakan terhadap aktiviti ekonomi dan sosial bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Pendapatannya pada suku berkenaan juga meningkat 81% tahun ke tahun kepada RM170.2 juta daripada RM93.89 juta.

 

Ini menyaksikan kerugian bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Julai 2022 mengecil sebanyak 43% kepada RM19.54 juta, daripada RM34.18 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 52% kepada RM450.73 juta daripada RM296.5 juta.

 

Baru-baru ini, firma tersebut menyertai lawatan ke pusat pemprosesan makanan (FPC) Mynews diikuti taklimat bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dang Tai Wen dan Pengerusi Eksekutif, John Ding.

 

Hasil lawatan itu yang merangkumi kedai roti dan seksyen sedia untuk dimakan (RTE) FPC , ia mendapati kira-kira 150 pekerja tetap baharu telah diambil bagi menggantikan penyumberan luar pada September lalu, dan kadar penggunaan FPC dijangka mencapai sasaran 70% pada suku pertama FY23 apabila pekerja sedia ada bekerja dengan syif 12 jam. 

 

RHB Investment berkata, kemasukan pekerja baharu dapat membantu memenuhi permintaan pasaran, memastikan aliran bekalan kepada Mynews yang sebelum ini terjejas akibat masalah kekurangan pekerja dan mempermudahkan pelancaran produk baharu dalam pasaran.

 

"Selain itu, kami juga menyukai jenama CU di bawahnya, berikutan kebolehskalaan dan prospek memperoleh margin yang lebih baik memandangkan pilihan tawaran makanan segar yang lebih luas dan sumbangan jualan lebih besar," jelasnya.

 

Setakat 12.12 tengah hari ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.93% kepada 53.5 sen dengan 696,800 saham diniagakan. - DagangNews.com