KUALA LUMPUR 31 Okt - RHB Investment Bank menaikkan penarafan UEM Edgenta Bhd. kepada 'beli' berbanding 'neutral' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.46 daripada RM1.70 sesaham sebelum ini.
Sejajar dengan semakan semula TP itu, ia mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 6% dan 1% disebabkan tekanan kos mungkin menjejaskan margin kumpulan.
Menurut firma itu, walaupun mempunyai variasi harga atau klausa VOP dalam kontraknya, UEM Edgenta masih menghadapi kekangan dari segi pelaksanaan kerja, kerana tidak semua pelanggan terbuka untuk menerima kenaikan kos.
Katanya, untuk menangasi situasi itu, kumpulan menggunakan perkhidmatan bersepadu/perolehan, meningkatkan usaha automasi dan mekanisasi untuk mengoptimumkan penggunaan sumber dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja.
"UEM Edgenta sepatutnya menyaksikan peningkatan dalam pertumbuhan hasil pada separuh kedua 2022, disokong oleh suku keempat yang lebih kukuh dan kedudukan kunci kira-kira yang teguh (nisbah penggearan rendah 0.1x), menyokong dasar pembayaran dividennya sebanyak 50% hingga 80% pada masa hadapan.
"Meskipun mempunyai klausa peningkatan kos dalam kontraknya, pengurusan kekal teguh untuk mengoptimumkan kos dengan menggabungkan penyelesaian berasaskan teknologi bagi meningkatkan produktiviti," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat ini, UEM Edgenta telah memperoleh 61% daripada sasaran nilai kontrak bagi tahun kewangan penuh antara RM1.2 hingga RM1.3 bilion.
Nilai kontraknya setakat Jun 2022 berjumlah RM10.5 bilion dan akan memberi pendapatan kepada kumpulan untuk empat hingga lima tahun akan datang.
Berikutan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya, RHB Investment menjangkakan kumpulan akan memanfaatkan sepenuhnya kerja penyelenggaraan jalan raya dan turapan yang lebih tinggi daripada Lebuhraya PLUS dengan volum trafik yang lebih tinggi.
Ia menjangkakan prestasi suku keempat yang lebih kukuh, menyumbang 30% daripada hasil setahun penuh, kerana pelanggan akan cuba menggunakan belanjawan tahunan mereka menjelang akhir tahun.
Sementara itu, nilai kontrak komersial bagi segmen penjagaan kesihatannya meningkat kepada 44% daripada keseluruhan nilai kontrak berbanding sebelum pandemik antara 20% hingga 39%.
Berdasarkan keupayaannya untuk terus meraih kontrak komersial baharu dari luar negara, UEM Edgenta komited ke arah menjadi penyedia penyelesaian berteknologi dalam industri perkhidmatan penjagaan kesihatan menjelang 2025. - DagangNews.com