Scientex rekod untung bersih RM107.2 juta bagi 1QFY23 dipacu sumbangan tinggi dalam segmen pembungkusan dan hartanah | DagangNews Skip to main content

Scientex rekod untung bersih RM107.2 juta bagi 1QFY23 dipacu sumbangan tinggi dalam segmen pembungkusan dan hartanah

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Scientex Berhad mencatat merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM107.2 juta bagi 1QFY23 atau peningkatan 4.2% daripada 102.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan yang baik itu didorong pertumbuhan hasil sebanyak 11.0% kepada RM1 bilion daripada RM928.2 juta pada tahun lalu, hasil sumbangan segmen pembungkusan dan hartanahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin berkata, kumpulan itu mencapai pertumbuhan kerana mereka menjana keuntungan ekonomi secara serentak di samping pembangunan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar, yang didorong oleh budaya inovasi.

 

Beliau berkata, bahagian pembungkusan mencapai inovasi baharu selepas kejayaan mengkomersialkan 27 inovasi pembungkusan baharu pada 4QFY22 termasuk pelbagai inovasi penyelesaian mampan yang boleh dikitar semula sepenuhnya.

 

"Kami berusaha mencapai matlamat alam sekitar dan kemampanan.

 

“Sehingga kini, kami telah membina lebih 27,000 rumah mampu milik dengan kebanyakannya berharga di bawah RM300,000.

 

"Kami juga terus memperoleh bank tanah berharga kompetitif di lokasi strategik, serta meningkatkan kecekapan operasi kami dan teknologi bangunan berindustri, bagi menangani peningkatan kos operasi," katanya.

 

Memandangkan permintaan produk pembungkusan yang kukuh di Asia Tenggara dan Oceania, bahagian pembungkusan mencatat pertumbuhan hasil 5.6% kepada RM716.0 juta daripada RM678.1 juta sebelumnya.

 

Ia juga mengurangkan jualan pembungkusan industri yang lebih rendah kerana pelanggan global kekal berhati-hati terhadap sentimen dagangan.

 

Didorong oleh kemajuan pembinaan yang sihat untuk pembangunan hartanah mampu milik kumpulan di seluruh Semenanjung Malaysia, serta permintaan kukuh untuk pelancaran rumah mampu milik baharu di Tasek Gelugor di Pulau Pinang, Jasin di Melaka, dan Pulai dan Kota Tinggi di Johor, bahagian hartanah mencatatkan 25.5% lebih tinggi hasil sebanyak RM313.9 juta berbanding RM250.1 juta sebelumnya. - DagangNews.com