Suruhanjaya Sekuriti perkenal empat inisiatif berkaitan digital bagi kukuhkan pasaran modal | DagangNews Skip to main content

Suruhanjaya Sekuriti perkenal empat inisiatif berkaitan digital bagi kukuhkan pasaran modal

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan empat inisiatif baharu berkaitan digital bagi merangsang pertumbuhan pasaran modal dan membantu menyokong  pemulihan ekonomi negara.

 

Inisiatif tersebut akan membuka ruang untuk liberalisasi selanjutnya dalam pasaran modal dan membolehkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan  Syarikat Peringkat Pertengahan (MTC) mendapatkan akses yang lebih baik dalam pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, inisiatif pertama SC melibatkan pembukaan pendaftaran pengendali pasaran pendanaan ramai ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P) baharu dengan penyelesaian syariah dan cadangan nilai, bertujuan untuk memupuk pertumbuhan PMKS dalam ekonomi halal dan meningkatkan ekosistem teknologi kewangan Islam.

 

"Inisiatif kedua melibatkan pembukaan pendaftaran pengendali P2P baharu yang memberi tumpuan kepada penawaran instrumen pembiayaan berasaskan hutang oleh MTC dan syarikat lain yang lebih besar, membolehkan syarikat ini mendapatkan pembiayaan terus daripada pelabur, sambil mengurangkan bilangan pengantara dalam proses itu," katanya dalam satu keyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, SC juga akan membuka pendaftaran RMO-DAX baharu untuk memudahkan pelaburan aset digital terkawal memandangkan bentuk aset alternatif ini semakin berleluasa, dan ia adalah sebahagian daripada usaha pengawal selia untuk mempromosikan inovasi yang bertanggungjawab dengan membolehkan pelabur melabur melalui saluran terkawal.

 

Pada masa ini, terdapat empat pengendali RMO-DAX berdaftar dengan SC, dan ia membenarkan lebih ramai pemain memasuki pasaran boleh meningkatkan kerancakan pasaran.

 

Katanya, pembiayaan P2P telah mengumpul kira-kira RM3 bilion secara keseluruhan, dengan kadar lalai berada pada kira-kira 2.6%, manakala pelaburan aset digital melalui RMO-DAX yang didaftarkan melalui pengawal selia berjumlah kira-kira RM21 bilion.

 

Awang Adek berkata, pihak yang berminat dijemput untuk melibatkan diri dengan SC mengenai permohonan untuk platform digital ini mulai 1 November dan seterusnya dan garis panduan serta borang yang dikemas kini akan disediakan mulai 15 November 2022.

 

"Pendigitalan pasaran adalah keutamaan utama bagi SC supaya peserta pasaran dapat menyesuaikan diri dengan trend digital dan menggunakan teknologi yang akan menggalakkan inovasi dengan model perniagaan dan produk atau perkhidmatan baharu termasuk meluaskan akses kepada pembiayaan berasaskan pasaran dengan lebih cekap,” katanya.

 

Sementara itu, Awang Adek berkata, pengawal selia pasaran modal juga akan menubuhkan Dana Inovasi Digital (DIGID) RM30 juta bagi membantu membiayai projek inovatif oleh PKS dan MTC.

 

Belia berkata, DIGID berhasrat untuk menggalakkan peserta pasaran modal yang lebih kecil mengguna pakai penyelesaian digital yang inovatif dan pembangunan penyelesaian seluruh industri yang memberi kesan kepada aktiviti penjanaan modal dan pelaburan.

 

"Pihak yang berminat dijemput untuk mengemukakan permohonan mereka mulai 1 Jan 2023 dan calon yang berjaya akan menerima pembiayaan secara bayaran balik selepas memenuhi penyerahan penting yang telah dipersetujui.

 

"Jumlah pembiayaan itu akan menampung sehingga 70% daripada perbelanjaan kelayakan yang diluluskan, dihadkan pada RM500,000 setiap projek," katanya. - DagangNews.com