Tabung Haji tawar hadiah bernilai RM500,000 kepada pendeposit | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji tawar hadiah bernilai RM500,000 kepada pendeposit

Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah wang tunai dan 25 pakej umrah yang bernilai RM500,000 menerusi Kempen Cabutan ‘Setia dan Menang’ dan ‘Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa’ yang bermula pada 1 Februari 2023 hingga 31 Januari 2024. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, aktiviti seumpama ini diadakan bagi memupuk dan membudayakan tabiat menabung serta membuat perancangan kewangan bagi tujuan menunaikan ibadat haji. 

 

"Selain itu juga, ia adalah sebagai salah satu cara TH menghargai kesetiaan pendepositnya yang telah lama menyimpan di TH," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Amrin, pendeposit TH yang berusia 18 tahun dan ke atas berpeluang menyertai cabutan Setia dan Menang apabila mempunyai baki akaun sekurang-kurangnya RM10,000 dan mengekalkan simpanan mereka sepanjang tempoh kempen serta membuat pendaftaran haji bagi yang belum mendaftar haji. 

 

Katanya, pendeposit yang telah menunaikan haji juga layak menyertainya, manakala Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa adalah terbuka kepada semua pendeposit muda berusia di bawah 18 tahun. 

 

"Pendeposit hanya perlu mendeposit sekurang-kurangnya RM5,000 dan mengekalkan simpanan bersih minima RM5,000 dalam akaun TH serta membuat pendaftaran haji bagi yang masih belum mendaftar haji," katanya.

 

Jelas beliau, menerusi cabutan Setia dan Menang hadiah berupa wang tunai dan pakej umrah bernilai RM400,000 ditawarkan dan wang tunai bernilai RM100,000 pula kepada pendeposit TH yang menyertai cabutan Simpan Daftar dan Menang Kelab TaHa. 

 

Tambahnya, kedua dua kempen ini merupakan inisatif TH sebagai galakan kepada umat Islam di Malaysia membuka akaun, menabung dan menambah simpanan untuk keperluan urusan haji dan kegunaan di masa hadapan.

 

Dalam pada itu, seramai 154 pendeposit bertuah memenangi hadiah bagi cabutan akhir kempen Simpan, Daftar dan Menang dan kempen Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa bagi tahun 2022 yang telah dijalankan pada 20 Januari  lalu.

 

Zadariana Jamil berjaya memenangi wang tunai berjumlah RM25,000 bagi cabutan utama, manakala Yasir Arafat Bustang dan Aishah Muhammad bertuah memenangi wang tunai bernilai RM15,000 setiap seorang.

 

Senarai penuh penerima cabutan bertuah kempen Simpan, Daftar dan Menang serta kempen Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa boleh rujuk di laman sesawang dan Facebook TH. - DagangNews.com