KUALA LUMPUR 16 Mac - Top Glove Corporation Berhad mencatatkan kerugian buat suku tahun ketiga pada suku kedua berakhir 28 Februari 2023 (2QFY23) kesan daripada lebihan stok sedia ada dan penyederhanaan harga jualan purata (ASP) yang berterusan selain peningkatan kos penyeluaran.
Kerugian bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM164.67 juta pada 2QFY23 berbanding untung bersih RM87.55 juta pada tahun lalu.
Hasil kumpulan itu juga menyusut lebih separuh kepada RM618 juta berbanding RM1.48 bilion sebelum ini.
Keputusan itu menyaksikan kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih untuk enam bulan pertama FY23 sebanyak RM332.9 juta berbanding untung bersih RM273.27 juta pada tahun lalu dan hasil juga merosot 58.2% kepada RM1.25 bilion berbanding RM3.09 bilion.
Kumpulan itu berkata, aktiviti nyah stok berterusan, didorong oleh inventori pelanggan yang berlebihan menyebabkan kadar tempahan menjadi lebih perlahan.
"Keputusan itu juga juga dipengaruhi oleh situasi lebihan bekalan sarung tangan yang berterusan, digabungkan dengan kekurangan keperluan mendesak pelanggan untuk membuat pesanan memandangkan masa penghantaran yang lebih singkat daripada penggunaan pengeluar yang lebih rendah," katanya.
Sementara itu, kumpulan itu berkata, peningkatan kos pengeluaran selain ASP yang menyederhana juga menyumbang kepada keputusan itu.
"Kumpulan itu menyatakan bahawa tahap inventori sarung tangan pelanggan semakin normal.
“Bagaimanapun, sementara jualan telah mula meningkat, tidak semua pesanan yang diterima akan terbukti dapat dilaksanakan kerana harga yang lebih rendah.
"Memandangkan industri sarung tangan menghadapi kerugian ditambah pula dengan peningkatan kos, industri telah mula menyemak semula harga jualan dari Februari 2023, yang merupakan langkah perlu ke arah pemulihan dan kemampanan industri," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, industri sarung tangan melalui tahun yang sangat mencabar.
Beliau berkata, ia pelru mengimbangi semula permintaan dan bekalan, ditambah dengan ASP yang sederhana dan peningkatan kos, keputusan kewangan yang dicatatkan itu tidak akan mewakili potensi sebenar syarikat atau industri.
"Bagaimanapun, ini adalah fasa sementara yang perlu kita hadapi selepas dua tahun peningkatan permintaan akibat penularan wabak," katanya. - DagangNews.com