UPM anjur program pendidikan kesihatan makanan untuk komuniti di PPR | DagangNews Skip to main content

UPM anjur program pendidikan kesihatan makanan untuk komuniti di PPR

Pihak penganjur FPSK UPM bergambar dengan para komuniti pada program PUTRACNAP di PA Seri Perlis 2, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Jabatan Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Duta PUTRA Pemakanan Komuniti (PUTRACNAP) dalam usaha mendidik komuniti mengenai penjagaan pemakanan dan kesihatan di Perumahan Awam (PA) Seri Perlis 2, Datuk Keramat, di sini baru-baru ini.

 

UPM berkata, PUTRACNAP bertujuan menangani masalah obesiti, bantut, anemia serta keselamatan makanan dalam kalangan pasangan ibu dan anak yang bersekolah rendah, menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan PA di sekitar ibu negara.

 

"Program ini merupakan program berorientasikan kajian yang menggunakan konsep ‘Dari Kebun ke Meja Makan’ yang mana pasangan ibu dan anak telah dinilai tahap pemakanan serta kesihatan mereka sebelum diberi pendedahan ilmu serta praktikal berkenaan dengan gaya hidup sihat selama tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, penganjuran majlis penutupan ini telah diadakan bersama Karnival Kesihatan Pemakanan Komuniti yang bertemakan konsep yang sama iaitu ‘Dari Kebun ke Meja Makan’. 

 

Menurut kenyataan itu, terdapat 5 reruai yang disediakan yang merangkumi keseluruhan konsep yang dibawa, antaranya reruai saringan kesihatan, reruai kebun bandar, reruai pemakanan, reruai aktiviti fizikal dan reruai pemakanan mampan dan kitar semula.

 

"Melalui karnival ini, para Duta PUTRACNAP iaitu pasangan ibu dan anak telah berkongsi ilmu yang dipelajari selama tiga bulan dengan mengambil tanggungjawab mengendalikan reruai-reruai yang ada di karnival tersebut.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Selain itu katanya, duta PUTRACNAP juga telah mengendalikan satu demonstrasi masakan sihat dan seramai 10 pasangan duta PUTRACNAP melibatkan diri dalam pertandingan memasak bertemakan ‘pemakanan yang seimbang’.

 

 

upm

 

 

Tambahnya, dengan menjadikan duta PUTRACNAP sebagai orang utama dalam mengendalikan karnival sepanjang majlis penutupan program ini adalah sangat bersesuaian dengan gelaran yang telah diberikan kepada mereka iaitu sebagai ‘Duta Pemakanan Komuniti’. - DagangNews.com