Skip to main content

De Paula tetap jadi pilihan Harimau Malaya walaupun kerap dikritik

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Walaupun sering dikritik hebat kerana aksi yang kurang memberangsangkan bersama skuad Harimau Malaya, pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula tetap menjadi pilihan pengendali, Tan Cheng Hoe untuk aksi Piala AFF 2020 di Singapura, Disember ini.

 

Pemain berusia 35 tahun itu berada dalam senarai 28 pemain yang akan menyertai kem latihan berpusat skuad kebangsaan, Isnin ini.

 

Dia akan menyertai seorang lagi pemain naturalisasi, Muhammadou Sumareh dan lima lagi rakannya dari Johor Darul Ta'zim (JDT) termasuk kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad.

 

Skuad kendalian Cheng Hoe itu turut menyenaraikan pemain berpengalaman seperti Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar, Khairul Fahmi Che Mat dan Khairulazhan Khalid untuk beraksi di kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu.

 

Barisan pemain muda seperti Luqman Hakim Shamsudin, Mukhairi Ajmal Mahadi, Quentin Cheng dan Azri Ghani juga diberi kepercayaan selepas membantu skuad Bawah-22 (B-22) layak ke Piala AFC B-23 tahun hadapan.

 

Skuad kebangsaan turut menyenaraikan tiga pemain yang beraksi buat kelab di luar negara iaitu Junior Eldstal dan Dominic Tan yang masing-masing beraksi di Thailand serta pertahanan FC Midtjylland, Dion Cools.

 

Bagaimanapun, pemain pertahanan berpengalaman, Matthew Davies dan Corbin Ong tidak berada dalam senarai kali ini

 

Cheng Hoe menaruh kepercayaan terhadap barisan pemainitu selain percaya mereka mampu memberikan saingan dalam kejohanan kali ini.

 

"Ini adalah kombinasi terbaik, pasukan ini memiliki pemain berpengalaman yang akan dibantu oleh pemain-pemain muda. Kita senaraikan pemain muda kerana mahu berikan mereka peluang bersama skuad kebangsaan," katanya.-Dagangnews.com