Ekonomi Malaysia diunjur lebih rendah kepada 4.5% - Bank Dunia | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia diunjur lebih rendah kepada 4.5% - Bank Dunia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Jun - Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang lebih perlahan iaitu 4.5% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, menurut Bank Dunia dalam laporannya yang dikeluarkan hari ini, World Bank Malaysia Economic Monitor: Weathering the Surge.

 

Unjuran terbaharunya lebih rendah daripada jangkaan sebelum ini, 6.0% yang mencerminkan perkembangan lebih perlahan dalam membendung pandemik COVID-19 dan pengedaran vaksin daripada jangkaan.

 

Memandangkan pemulihan negara pasca COVID-19 bakal dipacu oleh sektor swasta, Naib Presiden Bank Dunia di Rantau Asia Timur dan Pasifik, Victoria Kwakwa berkata, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan daya tahan sektor berkenaan dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

“Sepanjang tahun lalu, Hab Pertumbuhan Inklusif dan Kewangan Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia telah bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menangani dan memantau kesan pandemik tersebut terhadap ekonomi negara.

 

“Tinjauan masa nyata menunjukkan bahawa syarikat-syarikat Malaysia lebih rentan daripada firma setara mereka di peringkat serantau dan menunjukkan pandemik ini memperburukkan isu-isu yang diperjuangkan oleh sektor swasta di dalam negara sebelum penularan itu lagi,” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan tersebut.

 

Menurut laporan berkenaan, Malaysia perlu segera menumpukan ke arah pengurusan pandemik yang berterusan dan berkesan serta impaknya ke atas individu, rumah tangga, dan syarikat.

 

Bank Dunia turut menggesa negara untuk melindungi nyawa dan kesihatan rakyat yang penting dalam memastikan penyambungan semula kegiatan ekonomi dengan selamat seterusnya mengelakkan ekonomi daripada terus merosot. 

 

Dalam kenyataan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sedaya-upaya berusaha untuk mencapai matlamat vaksinasi negara. 

 

“Penyelesaian untuk mengatasi krisis antara kehidupan dan mata pencarian adalah mudah; vaksinasi. Imunisasi yang dapat menyelesaikannya,” kata beliau yang juga merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Di sebalik cabaran yang dihadapi negara ketika ini, situasi ekonomi luaran bagaimanapun bertambah baik yang membantu melancarkan pemulihan ekonomi Malaysia. 

 

Jelas Bank Dunia, eksport dijangka melonjak kepada 11.2% pada 2021, peningkatan ketara daripada -8.9% yang dilihat pada 2020. 

 

Ini susulan permintaan global kembali stabil dan pelaburan dalam aktiviti berkaitan eksport berterusan meningkat.

 

Walaupun keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk menguruskan pandemik, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menekankan bahawa negara tidak akan berhenti menyokong keutamaan jangka sederhana hingga panjang untuk memupuk kemunculan sektor swasta yang berdaya tahan dan mampan.

 

“Pemahaman yang lebih baik mengenai impak COVID-19 dari segi keparahan dan penyebarannya; dan mekanisme penyesuaian apa yang telah diambil oleh syarikat dalam menghadapi impak ini, merupakan komponen yang diperlukan dalam usaha pemulihan kita.

 

"Maklumat sedemikian akan membolehkan kita merancang dasar yang lebih baik untuk membantu meredakan impak ini dan menyokong pemulihan yang dipacu oleh sektor swasta yang lebih berdaya tahan,” katanya. - DagangNews.com