Ekosistem digitalisasi Malaysia tidak ketinggalan dengan 'Dasar 4IR Negara' | DagangNews Skip to main content

Ekosistem digitalisasi Malaysia tidak ketinggalan dengan 'Dasar 4IR Negara'

Dasar 4IR Negara

KUALA LUMPUR 5 Julai - Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (Dasar 4IR Negara) yang dilancarkan  minggu lalu merupakan satu dasar penting untuk dilaksanakan dalam usaha menyelaraskan kesemua inisiatif kerajaan.

 

Dasar berkenaan adalah bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem digitalisasi.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dasar berkenaan turut memberi faedah kepada rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan.

 

"Fokus kerajaan juga adalah meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya untuk rakyat menerima guna teknologi seiring perkembangan semasa yang turut berlaku di seluruh dunia.

 

“Kita tidak banyak mencipta teknologi seperti negara maju iaitu China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah. Oleh itu, kita berharap untuk mempunyai lebih ramai rakyat Malaysia yang mampu mencipta dan mewujudkan teknologi menerusi Dasar 4IR Negara,” katanya seperti dilapor Bernama.

 

Dasar 4IR Negara bertujuan mempertingkatkan keupayaan Malaysia, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

 

Dasar berkenaan digubal berpaksikan kemanusiaan supaya teknologi dimanfaatkan tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan, sosial dan warisan budaya, selaras matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama untuk mencapai kesejahteran rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, seimbang dan mampan.

 

Empat teras utama menyokong dasar berkenaan iaitu melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan 4IR; membentuk negara yang mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi 4IR.

 

Tambahnya, kerajaan juga dapat menggabungkan segala usaha dan bertindak menerusi kaedah yang terselaras mengikut Dasar 4IR Negara.

 

“Kita juga ingin memastikan pada 2050 kerajaan telah dapat mendigitalkan perkhidmatan kerajaan dan memahirkan setiap penjawat awam dalam bidang ini mengikut Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia," ujar beliau lagi. - DagangNews.com