Bersara atau letak jawatan: Apa sedang `terbakar’ di LTAT? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 14 February 2024

Bersara atau letak jawatan: Apa sedang `terbakar’ di LTAT?

 

 

 

KONTROVERSI yang timbul akibat perbezaan kenyataan antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan bekas pengerusinya, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, menimbulkan keraguan mendalam mengenai kestabilan dan ketelusan dalam pentadbiran serta pengurusan LTAT.

 

Perbezaan ini juga menimbulkan keraguan tentang integriti dalam pengurusan dan penyampaian maklumat, berpotensi merosakkan imej syarikat di pasaran modal.

 

Kurangnya konsistensi dalam kenyataan menunjukkan kelemahan dalam komunikasi dan pengurusan dalaman, yang menyebabkan ketidakpastian dalam kalangan pelabur dan pihak berkepentingan.

 

 

Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

 

 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan, "Kementerian mengakui peletakan jawatan dan persaraan ketua eksekutif dan pengerusi di LTAT." Beliau turut menambah, "Kami menghormati keputusan mereka dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan sejak tahun 2021."


 

ARTIKEL BERKAITAN: Masih sesuaikah bekas jeneral dijadi calon tetap pengerusi LTAT atau tiba masanya diganti ahli korporat?


 

Sementara itu, Raja Affandi menjelaskan, "Saya tidak bersara, saya meletakkan jawatan. Diberhentikan, bersara dan meletakkan jawatan adalah perkara yang berbeza. Jadi, apabila kita meletakkan jawatan, perbezaannya jelas."

 

Penjelasan ini menekankan kepentingan penyampaian maklumat yang tepat dan jelas dari pihak berkepentingan untuk mengelakkan kekeliruan dan memastikan kepercayaan pelabur terhadap syarikat.

 

Namun disebalik itu, orang ramai menghidu ada sesuatu yang terbakar di dalam LTAT, yang bermula dengan perletakan jawatan Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.

 

 

Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman
            Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman

 

 

Cabaran terhadap Pelan Strategik dan Prestasi Jangka Panjang

Perubahan dalam struktur organisasi dan kepemimpinan syarikat yang sedang dihadapi oleh LTA turut menjadi faktor yang merumitkan lagi proses merangka pelan strategik dalam mencapai matlamat prestasi jangka panjang.

 

Kestabilan dalam kepimpinan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan yang lancar serta keberkesanan operasi dan pencapaian kewangan syarikat.

 

Tanpa kestabilan ini, terdapat risiko bahawa pelan strategik yang dirancang dengan teliti mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, yang akan memberi kesan negatif kepada matlamat jangka panjang syarikat.

 

Ketidakpastian dalam kepimpinan juga boleh mengganggu operasi syarikat secara keseluruhan yang mengakibatkan gangguan dalam aliran kerja, proses membuat keputusan, dan mengurangkan keseluruhan kecekapan organisasi.

 

Oleh itu, pendekatan yang teliti terhadap cabaran ini penting bagi LTAT dalam memastikan keberkesanan pelan strategik dan operasi jangka panjang syarikat.

 

 

boustead

 

 

Penangguhan proses penyusunan semula anak syarikat Boustead Holdings Bhd (BHB), sejajar dengan cabaran struktur dan kepimpinan LTAT, mempengaruhi kestabilan dan keseluruhan strategi syarikat.

 

Dengan kestabilan yang tergugat dan ketidakpastian dalam arah strategik, pelabur mungkin mengalihkan kepercayaan mereka kepada alternatif pelaburan yang lebih stabil dan dijangka memberikan pulangan yang lebih baik.

 

Oleh itu, adalah penting bagi LTAT untuk mengambil tindakan proaktif untuk memulihkan keadaan dan mengembalikan keyakinan pelabur.

 

Ini juga mengambarkan bahawa LTAT sedang menghadapi pelbagai cabaran dalaman yang mungkin mempengaruhi prestasi jangka panjang dan keberkesanan operasinya.

 

Langkah Proaktif Perlu Diambil

Dalam menghadapi cabaran ini, pentadbir LTAT perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memulihkan kestabilan serta memperbaiki ketelusan dalam organisasi.

 

Ini termasuklah meningkatkan proses pengurusan yang telus dan berintegriti, memastikan kepatuhan kepada prinsip-prinsip tadbir urus yang baik, dan mengambil tindakan yang perlu untuk mengembalikan keyakinan pelabur.

 

Selain itu, keadaan ini juga menimbulkan soalan tentang keberkesanan dan kepatuhan LTAT terhadap dasar pendedahan maklumat korporat.

 

 

ltat

 

 

Dasar pendedahan maklumat korporat adalah penting dalam menyediakan pelabur dengan maklumat yang mencukupi dan berkualiti untuk membuat keputusan pelaburan yang lebih berpengetahuan.

 

Dalam konteks ini, LTAT perlu meninjau semula proses pendedahan maklumat korporat mereka dan memastikan bahawa maklumat yang diberikan kepada pelabur adalah tepat, telus, serta mencukupi.

 

Ini termasuklah memberi penjelasan yang jelas dan tepat mengenai perubahan dalam pentadbiran dan kepimpinan syarikat, serta mengumumkan sebarang isu berkaitan kestabilan dan prestasi syarikat dengan segera.

 

Perlu Akui Kesilapan, Terus Maju ke Hadapan

Pihak pengurusan LTAT perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kelemahan dalam pengurusan dan komunikasi, yang telah menjejaskan keyakinan pelabur dan merosakkan imej syarikat di pasaran modal.

 

Tanpa tindakan segera dan berkesan, risiko terhadap prestasi jangka panjang syarikat akan terus meningkat, dan ini akan memberi kesan negatif kepada semua pihak yang terlibat.- DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags