Memahami Halving Bitcoin Dalam Ekosistem Kripto | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 06 Mar 2024 08:00 AM

Memahami Halving Bitcoin Dalam Ekosistem Kripto

 

 

 

Bitcoin, sebagai mata wang digital pertama di dunia, telah mengejutkan dunia dengan peningkatan nilai yang luar biasa.

 

Dalam tempoh dua bulan yang lalu, harga Bitcoin telah meningkat 40%, mencecah lebih dari AS$62,000, hampir mencapai rekod tertinggi sekitar AS$69,000.

 

Kenaikan ini sebahagian besar disebabkan oleh keputusan Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika Syarikat yang meluluskan ETF Bitcoin pada bulan Januari, membuka pintu kepada aliran modal yang besar ke dalam pasaran kripto.

 

Walau bagaimanapun, selain pencapaian ini, Bitcoin juga menghadapi satu peristiwa teknikal penting yang dikenali sebagai "halving".

 

 

eksponen

 

 

Apa Itu Halving Bitcoin?

Halving Bitcoin adalah peristiwa teknikal yang berlaku kira-kira setiap empat tahun sekali. Ia melibatkan pengurangan separuh ganjaran yang diberikan kepada pelombong Bitcoin untuk setiap blok yang berjaya dilombong.

 

Ganjaran pelombongan sebelum halving adalah 6.25 Bitcoin, yang kemudiannya dikurangkan kepada 3.125 Bitcoin selepas halving. Tujuannya adalah untuk mengawal jumlah Bitcoin baharu dalam pasaran dan mengekalkan jumlah keseluruhan yang terhad.

 

Halving yang akan datang dijangka berlaku pada bulan April 2024, menjadikannya satu peristiwa penting dalam sejarah Bitcoin yang bakal mempengaruhi keadaan pasaran secara langsung.

 

Mengapa Halving Bitcoin Penting?

Halving Bitcoin bukanlah sekadar satu peristiwa teknikal biasa, tetapi ianya menjadi satu titik utama dalam evolusi dunia kripto yang kompleks. Fungsi halving ini adalah penting dalam mengekalkan nilai dan keseimbangan ekonomi aset digital Bitcoin.

 

Dengan mengurangkan bilangan Bitcoin baharu yang diperkenalkan ke pasaran pada masa yang ditetapkan, proses halving mengukuhkan konsep keterbatasan atau kehadiran terhad aset dan menjamin kestabilan nilai Bitcoin dalam jangka masa panjang.

 

Ini juga memperkukuhkan reputasi Bitcoin sebagai aset yang bernilai dan eksklusif. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap kali halving berlaku, ia memberikan impak yang luar biasa kepada harga Bitcoin dan menjadi tumpuan utama dalam komuniti kripto.

 

 

eksponen

 

 

Peningkatan yang ketara dalam harga Bitcoin setiap kali berlakunya halving menunjukkan minat yang tinggi datang dari pedagang dan pelabur, serta menekankan betapa pentingnya proses halving dalam menentukan arah dan prestasi keseluruhan pasaran kripto.

 

Halving Bitcoin Sebelum Ini

Sejarah halving Bitcoin adalah satu fenomena menarik yang memberi kita pandangan yang lebih mendalam tentang bagaimana peristiwa ini mempengaruhi ekosistem kripto secara keseluruhan.

 

Halving pertama Bitcoin berlaku pada 28 November 2012, ketika itu, ganjaran bagi pelombong Bitcoin berkurangan kepada 25 Bitcoin dari 50 Bitcoin sebelumnya. Ini bermakna bahawa pelombong hanya menerima separuh daripada jumlah Bitcoin sebelumnya untuk setiap blok yang berjaya dilombong.

 

Hal yang sama berulang pada 9 Julai 2016, apabila ganjaran turun lagi kepada 12.5 Bitcoin. Peristiwa halving terakhir berlaku pada 11 Mei 2020, mengurangkan lagi jumlah ganjaran kepada 6.25 Bitcoin.

 

Setiap kali halving berlaku, ia menyebabkan pengurangan jumlah Bitcoin baharu yang diperkenalkan ke dalam pasaran. Pengurangan ini memberikan elemen penjanaan baharu yang terbatas kepada Bitcoin, kerana ketersediaan aset ini secara langsung dikurangkan. Hal ini menyebabkan peningkatan nilai Bitcoin dalam jangka masa panjang.

 

Peranan Pelombong Bitcoin

Pelombongan Bitcoin merupakan proses di mana individu atau syarikat menggunakan komputer atau perkakasan (hardware) pelombongan untuk menyertai rangkaian blockchain Bitcoin sebagai pemproses transaksi dan pengesah.

 

 

eksponen

 

 

Proses ini adalah kunci dalam memastikan setiap transaksi Bitcoin disahkan dan direkodkan secara sah dalam blockchain. Dalam dunia kripto, Bitcoin menggunakan sistem yang dikenali sebagai bukti kerja (proof-of-work) untuk mengesahkan maklumat transaksi.

 

Ini bermaksud pelombong Bitcoin bersaing untuk menyelesaikan algoritma matematik yang kompleks dengan cepat dan tepat, membolehkan blok transaksi baharu disahkan dan direkodkan dalam blockchain.

 

Alternatif Pilihan Pelaburan Dalam Revolusi Bitcoin 

Walaupun terdapat keraguan mengenai kestabilan dan kesahihan Bitcoin, fenomena halving telah mengesahkan ketahanan Bitcoin dalam mengekalkan nilai serta menarik lebih banyak pelabur.

 

Ini menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam potensi jangka panjang mata wang digital ini, serta memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Bitcoin adalah aset yang dapat dipercayai untuk pelaburan masa hadapan.

 

Di tengah ketidakpastian ekonomi global, pelaburan dalam Bitcoin mungkin menjadi pilihan bijak untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

 

Oleh itu, kita mempunyai pilihan, sama ada untuk mengambil keputusan yang berani dan berisiko dengan menyertai gelombang revolusi Bitcoin ini, atau hanya menjadi penonton yang mengikuti perkembangan harga setiap kali peristiwa halving berlaku! - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews