Ringgit menyusut: Cerminan sebenar kesihatan ekonomi Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 28 Feb 2024 08:00 AM

Ringgit menyusut: Cerminan sebenar kesihatan ekonomi Malaysia?

 

BEBERAPA minggu kebelakangan ini, nilai Ringgit menyusut dan kini berada di paras terendah sejak krisis kewangan Asia pada tahun 1997-1998.

 

Keadaan ini telah menimbulkan persoalan adakah kerajaan sekarang mengurus ekonomi negara dengan cekap?

 

Kemerosotan nilai Ringgit tidak hanya berkaitan dengan perubahan nilai mata wang, tetapi juga mencerminkan keperluan tindakan segera dari kerajaan untuk menangani isu kewangan serta cabaran ekonomi yang dihadapi oleh negara.

 

Beberapa faktor, termasuk faktor domestik dan luaran menyumbang kepada isu ini. Di peringkat domestik, kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kerentanan struktur ekonomi menyumbang kepada ketidakpastian masa hadapan ekonomi negara.

 

Ini ditambah dengan ketidakpastian politik, terutamanya berkaitan dengan arah dasar dan pentadbiran, turut menyumbang kepada kebimbangan pelabur dan aliran modal keluar, mengekalkan tekanan terhadap Ringgit.

 

Dari perspektif global, perubahan dalam dinamik ekonomi global seperti perubahan dasar monetari terhadap bank pusat utama dan perubahan harga komoditi turut mempengaruhi nilai Ringgit.

 

Tindakan pengetatan dasar monetari di ekonomi maju, seperti pengurangan pembelian aset oleh Federal Reserve, telah menekan sentimen pelabur dan melemahkan nilai Ringgit.

 

Keputusan China untuk menurunkan faedah pinjaman turut memberi kesan negatif kepada nilai Ringgit.

 

Langkah tersebut telah mendorong pelabur untuk mencari peluang pelaburan yang lebih menguntungkan, menyebabkan aliran modal keluar daripada pasaran kewangan Malaysia dan menambah lebih tekanan terhadap nilai Ringgit.

 

Ekonomi MADANI, Adakah Sekadar Retorik Politik?

Persoalannya, adakah keadaan ini menunjukkan kekurangan dalam pengurusan ekonomi oleh kerajaan sekarang, atau adakah kerangka ekonomi MADANI yang diperkenalkan hanyalah gambaran ilusi, retorik politik  tanpa kejayaan dalam pelaksanaannya?

 

Usaha kerajaan dalam melaksanakan kerangka ekonomi MADANI mungkin mempunyai potensi untuk mengatasi cabaran ekonomi yang sedang dihadapi; bagaimanapun, kejayaan pelaksanaannya perlu dinilai melalui hasil yang dapat dilihat dalam pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang, dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

 

Jadi, adalah penting bagi kerajaan untuk menilai dan mengukuhkan strategi mereka dalam menghadapi ketidakpastian politik, sambil memastikan bahawa pelaksanaan dasar ekonomi memberikan impak positif yang nyata kepada ekonomi negara.

 

Kesan daripada penurunan nilai Ringgit juga dirasai secara meluas dalam pelbagai sektor ekonomi, terutamanya dalam sektor import dan eksport.

 

Sektor yang bergantung kepada import, seperti industri pembuatan, mungkin akan mengalami kenaikan kos bahan mentah dan komponen yang diimport.

 

Sebaliknya, sektor eksport berpotensi untuk mendapat manfaat dari penurunan nilai mata wang. Ini kerana penurunan tersebut akan menjadikan produk dan perkhidmatan mereka lebih bersaing di pasaran global.

 

Walaubagaimanapun, sektor ini juga terdedah kepada risiko yang sama akibat ketidakpastian di pasaran global dan turun naik nilai tukaran mata wang, yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam pendapatan dan prestasi perniagaan mereka.

 

OPR Adalah Jalan Penyelesaian?

Kadar Dasar Semalaman (OPR) sering dianggap sebagai instrumen penting dalam mengawal nilai mata wang negara. Namun, dalam konteks penurunan nilai Ringgit, peningkatan OPR mungkin tidak memberikan kesan seperti yang diharapkan.

 

Walaupun matlamatnya adalah untuk menstabilkan nilai Ringgit dengan menarik pelaburan, kenaikan OPR juga berpotensi meningkatkan kadar faedah bagi pinjaman seperti pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, dan pinjaman kepada peniaga kecil.

 

Ini mungkin menimbulkan lebih banyak tekanan kepada golongan yang mempunyai pinjaman tersebut, seterusnya, akan menambah beban ekonomi rakyat.

 

Selain itu, kenaikan OPR juga boleh memberikan implikasi yang meluas terhadap aktiviti ekonomi secara keseluruhan. Peningkatan kadar faedah boleh mempengaruhi daya beli masyarakat dan mengurangkan kecenderungan untuk berbelanja dan melabur.

 

Hal ini berpotensi merencatkan pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh dan mengurangkan aktiviti perniagaan, memburukkan lagi masalah ekonomi yang sedang dihadapi.

 

Oleh itu, kesan OPR terhadap penurunan nilai Ringgit perlu dipertimbangkan dengan teliti dan diselaraskan dengan langkah-langkah lain untuk memastikan keseimbangan yang sesuai antara kestabilan mata wang dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Petanda Kegagalan Awal?

Prestasi ringgit yang merosot dengan ketara menimbulkan persoalan yang mendalam mengenai keupayaan kerajaan dalam mengurus ekonomi negara.

 

Meskipun prospek ekonomi Malaysia dianggap positif, perbezaan ini tidak selari dengan realiti pasaran yang menunjukkan penurunan nilai mata wang yang berterusan.

 

Adakah ini petanda awal kegagalan kerajaan dalam merangka dan melaksanakan dasar ekonomi yang berkesan? - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews