Subsidi bersasar bergantung kepada keberkesanan sistem PADU | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 10 Jan 2024 08:00 AM

Subsidi bersasar bergantung kepada keberkesanan sistem PADU

 

 

SEBAGAI respons terhadap perubahan landskap sosioekonomi yang berkembang, Malaysia telah membuat keputusan strategik untuk beralih daripada program subsidi tradisional kepada program subsidi bersasar.

 

Peralihan ini tidak hanya melibatkan tanggungjawab fiskal, tetapi juga didorong oleh hasrat untuk mencegah ketirisan berterusan dan memastikan bantuan kewangan disalurkan dengan tepat kepada yang memerlukan, dengan tujuan mengurangkan kadar kemiskinan.

 

Untuk mencapai kejayaan dalam transformasi ini, Malaysia memperkenalkan Pangkalan Data Utama (PADU). Teras kejayaan program ini bukan bergantung pada pelaksanaan PADU, tetapi bergantung pada kemampuan negara untuk menyesuaikan strategi mengikut perubahan dan keperluan semasa.

 

Malaysia juga perlu memperkukuhkan pendekatan dengan mempelajari daripada amalan terbaik dan kejayaan program subsidi bersasar negara lain.

 

Beberapa contoh program yang berjaya termasuk Bolsa Família di Brazil, Program Indonesia Pintar (PIP) di Indonesia, LPG Subsidy Reform di India, Oportunidades di Mexico, dan Expanded Public Works Programme (EPWP) di Afrika Selatan.

 

Keberkesanan program-program ini dapat dijadikan sebagai contoh pendekatan dan strategi yang dapat disesuaikan dengan keunikan Malaysia, yang mempunyai kelpebagaian etnik, agama, budaya, sosioekonomi, politik, dan pendidikan.


 

padu

 


Kecekapan PADU, Menyelaraskan Kriteria Kelayakan dengan Bijak

Salah satu contoh amalan terbaik di peringkat global adalah kejayaan program Bolsa Família Brazil, yang diiktiraf kerana ketepatan dalam mengenal pasti kumpulan sasaran.

 

Program ini menggunakan ujian dan syarat untuk memastikan subsidi hanya diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah yang layak – memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.

 

Ketepatan dalam mengenali kumpulan sasaran sepatutnya menjadi contoh dan perlu diintegrasikan dalam sistem PADU. Ini menekankan kepentingan penyelarasan kriteria kelayakan berdasarkan data sosioekonomi yang tepat.

 

Ia juga dapat menjamin setiap subsidi diselaraskan dengan cekap dalam memastikan bantuan kewangan disampaikan dengan tepat kepada kumpulan sasar, mencegah sebarang ketirisan dalam pengagihan, serta meningkatkan keberkesanan program.

 

Dengan pendekatan yang lebih terperinci ini, PADU dapat memainkan peranan secara lebih cekap dalam menyokong golongan yang memerlukan.

 

Membangunkan Pangkalan Data yang Telus dan Inklusif

Ketelusan dan keterangkuman pangkalan data memainkan peranan yang penting dalam menjamin kejayaan program subsidi.

 

Sebagai contoh, PIP di Indonesia memberikan gambaran tepat bagaimana PADU seharusnya beroperasi. Melalui pengenalan dan pengedaran kad pintar, Indonesia berjaya menyalurkan subsidi dengan tepat untuk memenuhi keperluan pendidikan.

 

PIP memastikan keselamatan data dengan ketelusan dan kawalan yang cermat melalui penggunaan Kad Pintar Indonesia, pendaftaran dalam Data Pendidikan Utama (Dapodik), serta pendaftaran sebagai penerima manfaat di laman web rasmi PIP.

 

Pendekatan holistik ini tidak hanya menjamin ketelusan data tetapi juga melindungi privasi dan keselamatan maklumat individu.


 

padu

 


PADU perlu memberi penekanan penting kepada keselamatan data. Ini adalah kerana, baru-baru ini, ketidakpastian mengenai keselamatan data telah menjadi persoalan dan menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu, termasuk bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming.

 

Beliau telah mengesa untuk menangguhkan proses pendaftaran PADU sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

 

Oleh itu, dalam menangani ketidakpastian dan kebimbangan awam terhadap keselamatan data, kerajaan perlu memberi jaminan bahawa maklumat peribadi individu akan dilindungi sepenuhnya.

 

Tindakan ini akan membantu meningkatkan penerimaan dan keyakinan awam dalam pelaksanaan program subsidi bersasar ini dengan lebih cemerlang.

 

Manfaatkan Teknologi untuk Ketepatan

Teknologi membentuk rangka asas ketepatan dalam pengagihan subsidi. Melalui program LPG Subsidy Reform di India, skim Direct Benefit Transfer for LPG (DBTL), ia menunjukkan bagaimana teknologi dapat membantu dalam proses kecekapan pengagihan subsidi.

 

Dengan melibatkan transformasi digital, Malaysia dapat memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kecekapan serta ketepatan dan dapat mencegah ketirisan subsidi secara berterusan.

 

Integrasi teknologi tidak hanya terarah dalam meningkatkan kecekapan pengagihan subsidi, tetapi juga membentuk asas kukuh untuk inovasi dalam pengurusan subsidi pada masa hadapan.

 

Tidak terhenti pada pencegahan ketirisan; malah, pengunaan teknologi membentuk ekosistem baharu subsidi yang dinamik, membolehkan pelaksanaan yang lebih responsif dan efektif.


 

padu

 


Tambahan, ini menjamin pengagihan subsidi yang lebih cekap dan ia juga merupakan strategi proaktif untuk mengubah pendekatan holistik terhadap pengagihan subsidi.

 

Seiring dengan perkembangan teknologi, Malaysia dapat merangkul potensi penuh teknologi untuk membentuk sistem subsidi yang lebih inklusif dan berkesan.

 

Ke Arah Transformasi Subsidi yang Proaktif dan Inovatif

Program Oportunidades di Mexico menerima pengiktirafan global atas kecemerlangannya dalam menyelaraskan ujian dan syarat, mencerminkan kebijaksanaan dalam menilai pendapatan dan keadaan yang disasarkan.

 

Melalui ujian dan syarat yang teliti, program ini tidak hanya menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga memastikan keberkesanan dan keseinambungan  bantuan tersebut.

 

Kejayaan program ini, khususnya, kemampuan dalam meningkatkan mekanisme ujian sepatutnya menjadi salah satu inspirasi PADU.

 

Penggunaan proksi dalam ujian dapat meningkatkan ketepatan bagi mengenal pasti kumpulan sasaran dengan lebih tepat, memastikan bantuan disalurkan kepada yang memerlukannya, dan membentuk sistem pengagihan subsidi yang lebih cekap.

 

Ini dapat dilakukan dengan menjalankan kajian dan menilai secara teliti keperluan isi rumah di Malaysia melalui bantuan PADU.

 

Tumpuan utama harus diberikan kepada aspek pendidikan dengan memberi insentif kehadiran sekolah, sekaligus memberikan sokongan ekonomi yang holistik untuk memajukan pendidikan generasi muda.

 

Selain itu, mekanisme PADU juga perlu diperkukuhkan dengan menggabungkan elemen-elemen strategik Oportunidades dalam pelaksanaan program subsidi bersasar.

 

Ia termasuk penekanan kepada ketelusan dalam proses pengagihan bantuan, penilaian yang bijak terhadap pendapatan isi rumah, dan mekanisme penyelarasan ujian dan syarat yang teliti.

 

Melalui pelarasan ini, PADU dapat mencapai tahap keberkesanan yang tinggi, mencipta kesan positif jangka panjang, dan memastikan program subsidi bersasar di Malaysia memberi manfaat kepada kumpulan sasaran, sejajar dengan keperluan dan perubahan yang berlaku secara dinamik.

 

Keterangkuman Pendekatan, Subsidi yang Berkesan dan Holistik

Memahami perbezaan permasalahan yang dihadapi di setiap kawasan adalah kunci dalam merangka program subsidi yang efektif, seperti dibuktikan oleh kejayaan program EPWP di Afrika Selatan.

 

EPWP membuktikan keberkesanannya dengan memberi tumpuan khusus terhadap kawasan yang menghadapi masalah kadar pengangguran yang tinggi.


 

padu

 


Dengan tidak menganggap pengangguran sebagai masalah umum. EPWP mengakui bahawa pengangguran adalah permasalahan yang bersifat unik dan berbeza di setiap kawasan.

 

Dengan menyesuaikan subsidi dan program berdasarkan keperluan setiap kawasan, EPWP dapat menangani masalah pengangguran dengan lebih berkesan.

 

Di kawasan yang menghadapi kadar pengangguran tinggi, EPWP menyediakan peluang pekerjaan, manakala di kawasan kekurangan kemahiran, program latihan dan pembangunan kemahiran diperkenalkan.

 

Malaysia, dengan kepelbagaian landskap sosioekonomi, boleh menerapkan pendekatan serupa.

 

Peruntukan subsidi boleh diagihkan ke kawasan-kawasan yang menghadapi cabaran unik seperti kemiskinan, kurangnya peluang pekerjaan, atau kekurangan akses kepada pendidikan.

 

Di sini, kerajaan perlu memastikan bantuan tidak hanya bersifat menyeluruh, tetapi juga lebih berkesan dan relevan.

 

Sebagai contoh, di kawasan pedalaman, subsidi diperuntukkan secara khusus melalui program bantuan kewangan bagi menangani isu berkaitan kos pendidikan, manakala, di kawasan bandar, subsidi dapat diperuntukan untuk latihan dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan peluang pekerjaan.

 

Pendekatan ini tidak hanya menangani isu secara umum, malah ia mencerminkan usaha yang selaras dengan keperluan setiap kawasan, menjadikan program subsidi lebih responsif dan memberikan manfaat yang bermakna kepada rakyat.

 

Berjaya atau Gagal?

Cabaran sebenar bermula sekarang, bukan hanya dalam pelaksanaan PADU, tetapi dalam perubahan yang menjadi pendorong kepada transformasi ini.

 

Adakah Malaysia mampu menjayakan transformasi subsidi bersasar ini? Adakah perubahan strategik ini akan membawa kepada sistem subsidi yang lebih efektif dan inklusif?


 

padu

Hanya masa yang akan dapat memberikan jawapan… Hanya ada dua jawapan, sama ada ia bakal menjadi realiti pahit atau membawa kejayaan manis buat kerajaan Malaysia MADANI.   - DagangNews.com

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

 

 

dagangnews