EMAS: PELABURAN, PERHIASAN ATAU PELINDUNG NILAI?
EMAS merupakan salah satu pelaburan alternatif. Namun masih ramai pelabur di luar sana tidak mengetahui bagaimana emas ini boleh dijadikan satu bentuk pelaburan. Secara asasnya, pelaburan emas ini dalam pelbagai bentuk.
Pertama ialah jongkong emas. Pelaburan jenis ini selalunya menjadi pilihan bagi golongan yang berpengalaman dalam bidang ini. Pelaburan jongkong emas ini juga melibatkan jumlah pelaburan yang besar. Kebiasaanya berat jongkong emas ini antara 25 gram sehingga 1 kilogram.
Jongkong emas ini juga bukan sesuatu yang mudah untuk dicairkan. Sebagai contoh, jika anda mempunyai jongkong emas dalam 1 kilogram, berapa lamakah masa yang perlu di ambil untuk mencairkannya kepada wang kertas.
Kedua, syiling emas. Syiling emas antara pilihan ramai pelabur kerana ia lebih mudah untuk dijual atau dicairkan. Berat bagi syiling emas juga agak rendah antara 2.5 gram hingga 25 gram emas (kebiasaannya). Apa yang istimewanya tentang syiling emas ini kerana ia dicetak secara khusus (custom-made) atau secara berasingan yang menyebabkan nilainya menjadi tinggi. Adakala nilai syiling emas ini mencecah ratusan ribu ringgit.
Ketiga, akaun pelaburan emas. Akaun pelaburan emas merupakan satu akaun yang membolehkan individu untuk membeli dan menjual emas pada harga emas harian dalam Ringgit Malaysia (MYR), tanpa perlu menyimpan emas fizikal.
Akaun pelaburan emas memberikan pelabur peluang untuk memperoleh keuntungan modal dan kepelbagaian portfolio melalui pelaburan dan jual beli emas. Pada masa yang sama pelabur boleh menikmati kemudahan dan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik sepertimana akaun-akaun bank yang lain.
Di Malaysia terdapat 5 bank yang menawarkan akaun pelaburan emas seperti:
- Kuwait Finance House Malaysia Gold Account-i: satu-satunya pelaburan emas yang patuh Syariah, menawarkan emas fizikal kepada pelabur, serta menawarkan pengeluaran emas fizikal dengan serta-merta setelah membuat pembelian ataupun menyimpan emas tersebut ke Kuwait Finance House.
- Maybank gold Investment Account (GIA): Pelabur tidak mendapat emas fizikal sewaktu membeli emas MGIA sebaliknya jumlah pembelian emas akan dicatatkan dalam buku. Maybank juga tidak menawarkan kemudahan pengeluaran emas fizikal.
- Akaun Deposit Emas CIMB Bank: Pelabur tidak mendapat emas fizikal sebaliknya nilai emas yang dibeli akan dicatatkan di dalam buku akaun deposit emas anda. Walau bagaimanapun CIMB menawarkan kemudahan mengeluarkan emas fizikal kepada pelabur akaun deposit emas mereka.
- Akaun Pelaburan Emas UOB Bank. Terdapat 2 jenis akaun pelaburan emas yang ditawarkan iaitu Akaun Simpanan Emas dan Akaun Emas Premier. Akaun Simpanan Emas ini adalah bagi mereka yang ingin membuat pelaburan kecil manakala Akaun Emas Premier dikhususkan kepada mereka yang mempunyai lebih banyak wang.
- Al Rajhi Bank Gold-i: Emas yang ditawarkan adalah emas PAMP Suisse. Al Rajhi gold-i cuma ditawarkan kepada pelanggan yang banyak duit (mempunyai simpanan sebanyak RM100, 000 di dalam akaun Al Rajhi) sahaja.
Keempat ialah barang kemas perhiasaan. Selain tujuan pelaburan dan emas ini boleh dijadikan perhiasan. Harga barang kemas perhiasan ini boleh mencecah ratusan ringgit bahkan jutaan ringgit mengikut berat dan harga pasaran semasa.
Di Malaysia harga emas 999.99 pula pernah mencecah RM312 per gram manakala emas 916 pula RM290 per gram pada tahun 2020 yang mencatat antara yang tertinggi sejarah kenaikan harga emas. Walaupun negara mengalami keadaan ekonomi yang kurang baik namun permintaan emas perhiasan tetap tinggi.
Pengurus Besar Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaharuddin Mahmud menyatakan permintaan runcit untuk membeli barangan kemas atau emas perhiasan meningkat kerana masyarakat yakin pelaburan emas perhiasan mampu dijadikan “alat kecairan” jika masyarakat berada dalam situasi sukar seperti hari ini.
Emas perhiasan ini boleh dijadikan untuk medium menyimpan lebihan aliran tunai (wang kertas) kepada bentuk emas perhiasan. Atas alasan ini permintaan emas perhiasaan terus meningkat dalam ketidaktentuan ekonomi semasa.
Terbaru, hampir semua akhbar di Malaysia melaporkan masyarakat di Malaysia bagi golongan T20 yang mengeluarkan duit KWSP melalui i-Sinar telah membelanjakan wang mereka dengan membeli emas.
Satu kajian yang dijalankan oleh Kajian Pusat Penyelidikan UCSI terhadap 809 responden dari seluruh negara sebanyak 47.7% daripada responden yang telah atau merancang memohon pengeluaran i-Sinar bagi tujuan pelaburan atau pembelian emas. Permintaan semasa yang tinggi terhadap emas ini juga didorong oleh kejatuhan harga emas semasa.
Pada Februari 2021 terus menyaksikan penurunan harga yang bermula sejak bulan November 2020 lepas. Menurut Mohd Fakruddin Mohd Subari, pedagang Emas Public Gold, apa berlaku dengan harga emas yang dilihat lebih rendah berbanding bulan Januari 2021, di mana harga tertinggi hanya RM265 per gram.
Harga mulai turun ke paras terendah pada 18 dan 27 Februari 2021. Purata harga pada bulan Februari 2021 juga turun secara purata RM8.59 per gram kepada RM257.71 per gram berbanding RM266.30 per gram pada Januari 2021, berkadar hampir 3.2%.
Punca utama penurunan harga pada 26 Februari 2021 adalah peningkatan hasil US Treasury dalam 10 tahun, dan mata wang dolar AS yang semakin kukuh. Harga emas kebiasaannya mempunyai hubungan yang negatif ataupun sonsang kepada nilai dolar.
Hubungan negatif ini bermaksud ialah apabila dolar naik, harga emas akan terkesan. Penekanan pada harga emas adalah peningkatan keluk hasil AS (US yield) iaitu 2s10s (perbezaan antara hasil bon kerajaan AS 2 tahun dan hasil 10 tahun) meningkat lebih dari 3bps pada hari Februari yang lalu ke paras tertinggi di atas 105bps.
Penganalisis di TD Securities mengulas bahawa peningkatan keluk hasil yang bermaksud kos menahan harga emas melintasi lengkung meningkat Emas boleh turun lebih rendah dan menyatukan sebagai tindak balas kepada keseluruhan idea bahawa ekonomi AS dan global sedang pulih.
Semua pelabur yang ingin membuat pelaburan emas tidak perlu bimbang tentang volatiliti emas kerana harga emas kebanyakannya turun apabila dolar mendapat kekuatan. Jika dilihat pada keadaan semasa apabila dolar mula kukuh terhadap mata wang utama lain di dunia seperti Yen Jepun, Euro, dan Pound British harga emas akan turun.
Menurut data daripada Federal Reserve Bank of St. Louis, dalam tempoh masa yang sama, harga emas menurun sebanyak kira-kira 6% menurut data dari Persatuan Pasar Bullion London ditambah dengan data pasaran lain.
Menurut Nik Nur Shafika Mustafa, Pensyarah Kewangan dan Pelaburan UiTM Cawangan Johor, pelabur yang membeli emas sebagai pelindung nilai atau pelindungan yang selamat daripada ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan pasaran atau pelaburan lain menjadi tidak menentu.
Emas juga sering kali digunakan sebagai pelindung nilai kepada inflasi, deflasi dan penurunan mata wang. Menurut Joe Foster, pengurus dana Vaneck International Gold Fund yang berpangkalan di New York, menyatakan mata wang bagi negara-negara utama, termasuk USD, berada dalam tekanan pasaran disebabkan keadaan ekonomi dunia berikutan isu isu global yang belum selesai.
Semakin banyak wang dolar dicetak ke dalam ekonomi sekarang, nilainya akan semakin berkurangan. Sekiranya pulangan dari bon, ekuiti dan hartanah tidak lagi dapat menangani jumlah risiko dan inflasi maka permintaan untuk pembeli emas dan komoditi-komoditi lain akan turut meningkat dan ia boleh dijadikan pelindung nilai yang baik. - DagangNews.com
SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.
KOLEKSI VOLATILITI
Landskap Industri Minyak & Gas, Petronas dan Masa Depan
Menafsir vaksin, perjanjian bilateral Malaysia-China, KDNK di bursa saham
Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta
Pelaburan Derivatif Juga Satu Pilihan
Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi
Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit
PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi
5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021
Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham
Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi
Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020