Menafsir vaksin, perjanjian bilateral Malaysia-China, KDNK di bursa saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 24 February 2021

Menafsir vaksin, perjanjian bilateral Malaysia-China, KDNK di bursa saham

 

 

TARIKH dan detik ini pasti menjadi sejarah buat negara kita Malaysia apabila kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604 pada 21 Februari yang lalu pada pukul 10 pagi.

 

Vaksin Pfizer-BioNTech ini diimport dari kilang Pfizer di Belgium yang diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global. Vaksin ini berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

 

Sebanyak 312,390 dos diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 330-300. Turut hadir menyambut ketibaan vaksin pertama ini  di Lapangan terbang ialah Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Dato Mohd Shafiq Abdullah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan lain-lain wakil kementerian terbabit.

 

volatiliti

 

Vaksin merupakan salah satu kaedah untuk kita mengawal pandemik ini dan ia antara cara yang terbaik untuk melindungi masyarakat daripada COVID-19.

 

Sejak kemunculan COVID-19, pelbagai usaha telah dijalankan di seluruh dunia untuk membangunkan vaksin COVID-19. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kesihatan Malaysia dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ditubuhkan untuk memastikan akses bekalan kepada vaksin COVID-19 untuk negara dapat diperoleh.

 

Melalui JKJAV ini, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan dengan bermatlamatkan “Lindungi Diri, Lindungi Semua”.

 

volatiliti

 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan strategi Kerajaan adalah untuk memastikan sebanyak yang mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin bagi menyelamatkan nyawa semua dalam tempoh secepat yang mungkin.

 

Selepas usaha vaksinasi ini diharapkan ia akan memberi kesan yang baik kepada ekonomi dan pelaburan di Malaysia khususya. Perdana menteri juga mengharapkan agar rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada Kerajaan berkaitan vaksin ini.

 

Ini kerana ia adalah selamat untuk diambil kerana vaksin COVID-19 dikawal selia dan mematuhi Akta Racun 1952 (Akta 366) dan Peraturan- peraturannya, Akta Jualan Dadah 1952 (Akta 368) , Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

 

Dari sudut pandangan Islam pula, penggunaan vaksin ini hukumnya harus kerana ia bertujuan melindungi manusia daripada penyakit berbahaya. Hal ini telah diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020.

 

Selain Malaysia, institusi fatwa dunia lain turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

 

Bagi melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini, Kerajaan Malaysia dan China telah menandatangani Perjanjian Bilateral bagi kerjasama pembangunan dan akses kepada vaksin pada 18 November 2020.  

 

Perjanjian ini merupakan platform bagi memberikan Malaysia keutamaan dalam mendapatkan akses kepada vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh China selain daripada untuk perkongsian ilmu, kepakaran dan memudahkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi antara kedua belah pihak selaras dengan hasrat untuk memajukan industri vaksin kedua-dua negara.

 

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah perjanjian bilateral Malaysia-China ini akan menjadi pemangkin kepada perluasan kerjasama dan kolaborasi saintifik antara kedua-dua negara serta kerjasama dua hala di pelbagai sektor.

 

volatiliti

 

Hubungan diplomatik di antara Malaysia dan China yang terjalin sejak 1974 ini dapat diperkukuh dan dipertingkatkan lagi demi kepentingan dan kesejahteraan ekonomi bersama. Malaysia juga yakin melalui perjanjian bilateral ini akan menentukan hala tuju Insitiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam hubungan multilateral hubungan Malaysia-China.

 

Berikutan perjanjian bilateral dan pelancaran vaksin kepada rakyat Malaysia yang akan melalui 3 fasa utama ini bermula Februari 2021 hingga Februari 2022, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan positif selari dengan ekonomi global.

 

Menurut Richard Record, Ketua Pakar Ekonomi Bahagian Makroekonomi, Amalan Global Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, dalam Forum Prospek Ekonomi dan Strategik Malaysia 2021; The Post-Covid-19 New Normal- Where Do We Go From Here,  mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 5.6 hingga 6.7% manakala pertumbuhan global dijangka sebanyak 4% tahun ini.

 

Dalam masa yang sama, Richard menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 3.0 – 4.0% dan dalam masa yang sama Bank Pusat mengekalkan kadar dasar semalamam (OPR) pada kadar 1% hingga 1.75% pada tahun ini.

 

Pengarah Jabatan Pengurusan Aset Asia Pacific Investment Bank Ltf (APIB), Lai Heow Gran berkata, kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini akan menjadi faktor penting menentukan laluan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi.

 

Perjanjian Bilateral Malaysia-China dan vaksin ini dilihat sebagai faktor untuk ekonomi Malaysia dijangka kembali positif tahun ini.   - DagangNews.com

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KOLEKSI VOLATILITI

Boss Top Glove dapat dividen RM490 juta

Pelaburan Derivatif Juga Satu Pilihan

Masih Ada Saham Yang Menguntungkan Dalam Ketidakstabilan Ekonomi

Kestabilan Monetari Bagi mengukuhkan Ringgit

PERMAI: suntikan fiskal bantu rakyat, rancakkan ekonomi

5 Strategi utama pulihkan negara pada 2021

Masihkah relevan January Effect ke atas pasaran saham

Menyusun semula ekuiti bumiputera dalam pelaburan institusi

Selamat tinggal kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham 2020

 

 

 

 

 

Portfolio Tags