Episod kemiskinan rakyat yang memeritkan | DagangNews Skip to main content

Episod kemiskinan rakyat yang memeritkan

Kemiskinan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Landskap ekonomi negara dihimpit ancaman baharu sejak penularan wabak COVID-19 tahun lalu.

 

Episod pertama COVID-19 di Malaysia memaksa kerajaan untuk menjalankan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali gus menghentikan serta-merta operasi sektor ekonomi.

 

Akibatnya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian hingga RM2.4 bilion sehari pada Mac hingga Mei 2020.

 

Tidak lama kemudian, jumlah jangkitan wabak yang sudah menurun terus mencatatkan peningkatan semula dari semasa ke semasa.

 

Sehinggalah pada 11 Januari 2021, kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di negeri-negeri tertentu.

 

Meskipun impak PKP 2.0 adalah lebih rendah berbanding sebelumnya, kerajaan masih terpaksa menanggung kehilangan hasil yang besar iaitu sekitar RM633 juta sehari.

 

.

 

Realitinya, ancaman wabak COVID-19 bukan sahaja merencatkan enjin ekonomi negara, malah turut meningkatkan jumlah pengangguran dan kemiskinan rakyat di negara kita.

 

Penyelidik Khazanah Research Institute (KRI), Adam Firouz dan Hawati Abdul Hamid memberitahu, krisis yang dihadapai Malaysia dilihat mampu mengakibatkan 1.2 juta isi rumah berada dalam kelompok miskin mutlak sekiranya tidak mendapat bantuan kerajaan.

 

Jelas mereka, program bantuan yang sedia ada atau yang telah/akan dilaksanakan juga berkemungkinan tidak mencukupi.

 

"Di bawah Belanjawan 2021 misalnya, kerajaan telah memperuntukkan RM2.2 bilion untuk bantuan tunai bulanan bagi keluarga dan individu miskin. Melalui program ini, sebuah keluarga boleh mendapat sebanyak RM1,000 sebulan.

 

"Bagaimanapun, jumlah penerima hanya dijangkakan sebanyak 400,000 sahaja. Peruntukan ini mungkin tidak mencukupi jika terbukti lebih ramai kehilangan pendapatan dan jatuh ke kategori miskin, iaitu sebanyak 1.2 juta isi rumah seperti yang dibincangkan," jelas mereka dalam satu kajian yang dikeluarkan KRI baru-baru ini.

 

Menyentuh perkara sama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin baru-baru ini memberitahu, walaupun kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, namun masih ramai lagi rakyat yang terpaksa menangggung kesusahan.

 

.

 

Jelasnya, kumpulan kemiskinan rakyat di negara ini mula berubah kesan daripada penguncupan ekonomi.

 

"Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. 

 

"Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita," ujar beliau.

 

Dalam ucapan sama, beliau memberitahu, program pembasmian kemiskinan akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar.

 

Jika menilai perkara ini secara menyeluruh, jumlah rakyat yang tergolong dalam kumpulan miskin semakin meningkat kesan wabak COVID-19.

 

Susulan itu, pendekatan baharu dilihat perlu diambil bagi mendepani cabaran kemiskinan semasa.

 

Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali dalam satu laporan media baru-baru ini, kemiskinan di negara ini memerlukan kepada pentakrifan semula yang lebih tepat.

 

Jelasnya, ia penting untuk mengklasifikasi atau membezakan seseorang individu dalam kategori miskin kekal atau transit.

 

Perkara tersebut mendapat persetujuan Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff yang melihat keperluan sama dalam situasi pandemik kini.

 

Beliau memberitahu, kerajaan perlu membuat pentakrifan baharu berkaitan garis kemiskinan yang bukan hanya dilihat ke atas pendapatan isi rumah sebanyak RM2,208 semata-mata, tetapi turut melihat saiz isi rumah, lokasi kediaman, tanggungan isi rumah dan jenis pekerjaan.

 

Ahmed Razman Abdul Latiff
Ahmed Razman Abdul Latiff 

 

"Ini kerana kita melihat ramai yang duduk di kota besar seperti Kuala Lumpur tidak dianggap sebagai miskin kerana gaji setinggi RM4,000, tetapi mereka boleh dikategorikan sebagai miskin bandar kerana kos bulanan melebihi RM4,000 dan mempunyai ramai anggota isi rumah.

 

"Sekiranya tiada perubahan dibuat, ianya akan menyebabkan ramai golongan yang sepatutnya menerima bantuan akan tercicir. Kita melihat bagaimana kajian UNICEF ke atas kanak-kanak miskin bandar mendapati bahawa tahap nutrisi dan pemakanan mereka adalah membimbangkan. 

 

"Ini belum lagi melihat sama ada mereka tercicir dalam pendidikan terutamanya semasa pandemik ini. Kesihatan mental juga perlu diambil kira dan peluang untuk isi rumah keluar dari kepompong kemiskinan melalui pendidikan juga akan terkesan jika mereka tidak mendapat bantuan sewajarnya," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, menilai kepada situasi dan impak pandemik semasa, fokus kerajaan kini perlu dihalakan kepada usaha dan inisiatif untuk merapatkan jurang ekonomi rakyat.

 

"Mungkin kita tidak perlu bersungguh-sungguh mendapatkan status negara membangun jika jurang kekayaan antara penduduk semakin melebar.

 

"Fokus utama harus diberi untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam menikmati kekayaan negara.

 

"Saya juga berpendapat perlu usaha menyeluruh dalam kalangan agensi kerajaan persekutuan, negeri dan NGO untuk membangunkan pengkalan data yang mengintegrasikan semua maklumat berkaitan golongan miskin dan rentan supaya bantuan dapat diberi dengan lebih efisien dan berimpak," jelas beliau lagi. 

 

.

 

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh UNICEF menunjukkan kadar kemiskinan dan kekurangan  amat membimbangkan dikalangan kanak-kanak yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah di Kuala Lumpur, berbanding dengan purata kebangsaan.

 

Hampir semua kanak-kanak (99.7%) di Rumah Kos Rendah hidup dalam kumpulan kemiskinan relatif dan 7% adalah kemiskinan mutlak.

 

Sementara itu, hanya 50% daripada kanak-kanak yang berusia 5 hingga 6 tahun yang mengikuti pra-sekolah berbanding 92% pendaftaran negara pada tahun 2015.

 

Lebih membimbangkan, faktor sosio ekonomi dalam kalangan penduduk PPRT juga memberi kesan kepada nutrisi kanak-kanak dan perkembangan kognitif secara keseluruhannya.- DagangNews.com