EPL tolak cadangan Piala Dunia diadakan setiap dua tahun | DagangNews Skip to main content

EPL tolak cadangan Piala Dunia diadakan setiap dua tahun

 

 

LONDON 12 Nov - Kelab Liga Perdana Inggeris membantah cadangan kontroversi Persekutan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun berbanding empat tahun ketika ini.

 

Cadangan radikal itu dikemukakan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang kini memegang jawatan selaku ketua pembangunan bola sepak global badan induk itu.

 

Wenger baru-baru ini berkata, ramai pihak yang memberikan jawapan berdasarkan emosi tanpa mengambil kira faktor-faktor lain.

 

Bagaimanapun, kesemua 20 kelab Liga Perdana Inggeris menolak cadangan itu secara total dalam satu mesyuarat yang berlangsung semalam.

 

"Kami komited menghalang apa sahaja perubahan radikal untuk kalendar antarabangsa selepas tahun 2024 kerana dilihat akan menjejaskan kebajikan pemain, mengancam daya saing, kalendar, struktur dan tradisi bola sepak tempatan.
 

"Kami terbuka kepada pembaharuan dan idea baharu, tetapi ia mesti seimbang antara bola sepak domestik dan antarabangsa untuk menambah baik permainan ini di semua peringkat.

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan penyokong, pemain, pemegang taruh domestik dan antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi masa depan sukan ini,"-DagangNews.com