FavePay: Manfaat 50,000 peniaga | DagangNews Skip to main content

FavePay: Manfaat 50,000 peniaga

FavePay

KUALA LUMPUR 22 Julai - Platform yang berkembang pesat di Asia Tenggara, Fave menjalinkan kerjasama baharu bersama platform pembayaran digital terkemuka Asia, Pine Labs melalui kaedah pembayaran tanpa tunai FavePay melalui kod QR dan Cashback Loyalty kepada restoren serta peruncit.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh berkata, kerjasama itu melibatkan pemahaman dan kepakaran yang hebat dalam pembangunan teknologi bagi menyokong peniaga melalui transformasi perniagaan yang berjaya.

"Kaedah digital memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi Asia Tenggara. Peniaga sedar bahawa mereka perlu cepat beralih kepada digital bagi memastikan mereka tetap berdaya saing.

"Kerjasama ini turut memberi manfaat segera kepada hampir 50,000 peniaga Fave dan Pine Labs di Asia Tenggara. Kami akan bekerjasama dengan Pine Labs untuk mengukuhkan lagi misi Fave bagi membantu peniaga menyesuaikan diri ke arah digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FavePay

Kod QR Fave akan dikendalikan dibawah satu terminal Pine Lab yang membolehkan pembayaran digital dibuat dengan selamat dan lancar.

Bagi Cashback Loyalty pula, kaedah tersebut boleh dibuat menggunakan kad debit dan kad kredit melalui pembayaran terminal Pine Labs yang juga boleh diakses oleh pekerja Pine Labs di Asia Tenggara bagi memberi ganjaran kepada pelanggan mereka.

Penggabungan bayaran itu membolehkan Fave dan Pine Labs mendapatkan laporan pembayaran yang telus, kesesuaian pembayaran, pandangan pelanggan serta data demografi melalui akses di skrin digital Favebiz.

"Kerjasama ini juga bertujuan untuk meningkatkan dan mengembangkan lebih banyak perniagaan secara digital dalam beberapa bulan akan datang. Fave juga akan menerima dana daripada Pine Labs susulan perkongsian itu.

"Kerjasama Fave dan Pine Labs ini adalah lanjutan daripada fokus jangka panjang bersama bank utama, firma fintech dan e-wallet di Singapura dan Malaysia melalui SGQR, Paynet dan DuitNow QR bagi mewujudkan kaedah pembayaran yang lebih luas," katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama itu juga penting bagi memajukan kedudukan pasaran syarikat di Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pine Labs, B Amrish Rau berkata, pihaknya sangat gembira dengan pelaburan bersama Fave bagi mewujudkan perdagangan bersepadu di Asia Tenggara.

"Kepakaran Fave adalah dalam mengendalikan platform peniaga melalui kod QR dan kami pula menyediakan kaedah pembayaran dan ganjaran bagi membantu peniaga mengembangkan lagi perniagaan mereka selepas pandemik COVID-19," ujarnya. - DagangNews.com