Gabungan Celcom-Digi, ada risiko perlu ‘ditanggung’ | DagangNews Skip to main content

Gabungan Celcom-Digi, ada risiko perlu ‘ditanggung’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Walaupun penggabungan Celcom Axiata Berhad dan DiGi.com Berhad akan memberi manfaat kepada kedua-duanya, namun ada beberapa risiko yang perlu ‘ditanggung’ mereka. 

 

Penganalisis di Kenanga Research, Lim Khai Xhiang menjangkakan entiti gabungan kedua-dua syarikat telekomunikasi (telco) itu yang kelak dinamakan sebagai Celcom Digi Berhad (CDB) berpotensi kehilangan penguasaan pasaran mereka dalam masa terdekat ini. 

 

Ini terutamanya ketika tempoh peralihan di mana CDB berisiko berdepan kehilangan pelanggan ekoran isu kualiti atau perkhidmatan yang berbangkit daripada integrasi rangkaian dan operasi kedua-dua telco itu, jelas Khai Xhiang.

 

“Walaupun gabungan itu akan menyeimbangkan persaingan dalam ruang mudah alih, namun kami fikir pertandingan ini akan kekal sengit selepas langkah (penggabungan) tersebut.

 

"Pertama, ekoran isu kualiti dan perkhidmatan yang mungkin berbangkit daripada gabungan rangkaian dan operasi mereka, CDB berisiko mencatatkan churn (peratusan pelanggan yang beralih ke perkhidmatan lain) lebih tinggi daripada purata.

 

“Pesaing-pesaing lain mungkin akan menggunakan peluang ini untuk menarik pelanggan CDB,” jelas beliau dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Axiata-Telenor meterai perjanjian bentuk Celcom Digi Berhad bernilai RM50 bilion

 

Kedua, situasi pengkanibalan atau kerugian dalam penjualan disebabkan oleh pelancaran produk baharu yang menggantikan salah satu produk lama mungkin berlaku.

 

Berdasarkan pemerhatian Kenanga ke atas strategi dua jenama oleh syarikat induk Celcom, Axiata Group Berhad di Bangladesh iaitu Robit dan Airtel, Khai Xhiang menjangkakan CDB mungkin akan mengekalkan jenama Celcom dan Digi. 

 

Di Malaysia, walaupun kedua-dua telco itu menyaksikan geografi dan latar belakang pelanggan yang berbeza, namun pengkanibalan tidak dapat dielakkan kerana produk mudah alih mereka mempunyai perkhidmatan dan tujuan sama. 

 

“Tanpa strategi yang bersasar, sebarang keuntungan daripada produk silang atau terlaris akan terjejas oleh pengkanibalan. 

 

“Oleh itu, CDB boleh memanfatkan rangkaian yang dioptimumkan dan sasaran pelanggan yang lebih jelas untuk memegang penguasaan pasaran selepas penggabungan,” tambah beliau lagi.

 

Selepas perjanjian gabungan Celcom dan Digi dimeterai semalam yang turut melibatkan Telenor Asia Pte Ltd, Khai Xhiang tidak menolak kemungkinan CDB perlu menanggung kos peralihan untuk penamatan awal kontrak yang telah ditandatangani dengan vendor dan pembekal infrastruktur sedia ada. 

 

Ini tidak terkecuali dalam kerjasama antara Celcom dan edotco, namun beliau menjangkakan telco itu mungkin akan meneruskan rundingan semula berhubung kontrak sedia ada sebagai CDB.

 

“Dengan sinergi (gabungan Celcom dan Digi) yang mungkin menyaksikan sumbangan paling awal pada tahun kewangan 2023 (FY23), kami berhati-hati terhadap cabaran yang akan terus dihadapi pengendali mudah alih itu dalam masa terdekat ini, sebagai entiti berbeza, di mana turut diambil kira dalam unjuran semasa kami,” tambah beliau lagi.

 

Kenanga mengekalkan saranan ‘market perform’  ke atas Digi, sebaliknya membuat penarafan ‘outperform’ ke atas Axiata. - DagangNews.com