Gagal terbitkan laporan tahunan, saham NPC digantung | DagangNews Skip to main content

Gagal terbitkan laporan tahunan, saham NPC digantung

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Bursa Malaysia menggantung urus niaga saham NPC Resources Berhad susulan kegagalan syarikat kelapa sawit itu untuk menerbitkan Laporan Tahunan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2020.

 

Menurut makluman Bursa Malaysia, NPC telah diberikan kebenaran untuk menerbitkan laporan tahunan tersebut pada 15 Jun 2021 yang merupakan tarikh lanjutan setelah menerima kelulusan daripada broker saham itu pada 28 Mei 2021.

 

“Mengikut Perenggan 9.28 (5) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR), sekiranya syarikat tersenarai gagal untuk menerbitkan penyata kewangan yang berbaki dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa berkaitan, seperti dinyatakan dalam Perenggan 9.22 dan 9.23 LR, sebagai tambahan kepada sebarang tindakan penguatkuasaan yang Bursa Securities mungkin ambil, Bursa Securities boleh menggantung dagangan sekuriti syarikat tersenarai. 

 

“Penggantungan itu akan berkuatkuasa pada hari pasaran keesokannya selepas tarikh penggantungan tersebut,” jelas makluman itu.

 

Tambah Bursa Malaysia, sekiranya NPC gagal untuk menghantar laporan tahunan berkenaan pada atau sebelum 22 Jun 2021, dagangan saham syarikat akan digantung serta-merta bermula 9 pagi pada hari Rabu, 23 Jun 2021 sehingga pengumuman lanjut dikeluarkan.

 

Sekiranya NPC gagal untuk menerbitkan laporan tahunan itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh tamat tersebut, prosedur untuk menyahsenaraikan syarikat akan diambil.

 

Pada suku keempat tahun kewangan 2020 (4QFY20), NPC mencatatkan keuntungan bersih RM8.4 juta, namun menyaksikan kerugian bersih RM11 juta bagi prestasi kewangan sepanjang tahun. 

 

Ketika laporan ditulis, harga saham NPC berada pada kadar RM1.90 sesaham. - DagangNews.com