GDEX dijangka memperoleh keuntungan lebih baik susulan peningkatan aktiviti e-dagang | DagangNews Skip to main content

GDEX dijangka memperoleh keuntungan lebih baik susulan peningkatan aktiviti e-dagang

GD Express Carrier Bhd. (GDEX)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran ekspres, GD Express Carrier Bhd. (GDEX) dijangka memperoleh keuntungan lebih baik susulan peningkatan aktiviti e-dagang.

Kenanga Research berkata, syarikat berkenaan menerima manfaat kerana permintaan dalam perkhidmatan kurier dijangka meningkat dalam tempoh wabak COVID-19.

"GDEX telah mencatatkan pendapatan bersih tahunan yang konsisten antara RM24 juta hingga RM37 juta dalam tempoh lima tahun kewangan terakhir.

"Bagaimanapun, prestasi kewangan terganggu akibat wabak COVID-19 kerana ketiadaan keuntungan dalam penebusan bon boleh tukar sebanyak RM8 juta pada tahun kewangan 2019.

"Oleh itu, faktor ini menyebabkan keuntungan bersih merosot kepada RM18.8 juta (-42% berbanding tahun sebelumnya)," jelas Kenanga Research.

Tambah Kenanga Research, kunci kira-kira syarikat berkenaan kekal pada prestasi baik dengan pegangan tunai bersih dan dana jangka panjang adalah sebanyak RM237.2 juta.

Jumlah tersebut adalah pada kadar 4.2 sen sesaham pada akhir Jun tahun 2020.    

Syarikat tersebut juga dipercayai menggunakan sejumlah wang tunai untuk membeli semula sahamnya sendiri di pasaran terbuka.

"Harga saham GDEX pada carta kini berada dalam corak perdagangan yang tidak bergerak susulan penarikan turun 44.5 sen pada akhir Mei.

"Kami letakkan paras kerugian saham pada 31 sen dengan risiko penurunan 11%," jelas Kenanga Research lagi. - DagangNews.com