KUALA LUMPUR 16 Ogos - ILTIZAM, cabang tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), mempelawa graduan Bumiputera yang tiada pekerjaan selama enam bulan atau lebih atau mereka mempunyai pekerjaan tidak setaraf dengan tahap pengajian, menyertai Program Pembangunan Profesional (PDP) 2023 bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka di dalam dunia pekerjaan.
Permohonan untuk pengambilan sesi 2023 dibuka mulai 15 Ogos hingga 30 September 2022. Program ini menyasarkan graduan Bumiputera dari institusi pendidikan tempatan, di bawah umur 28 tahun.
Keutamaan diberikan kepada golongan B40, dengan pendapatan bulanan kasar isi rumah di bawah RM5,000 sebulan. Graduan daripada semua bidang pengajian boleh memohon.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, program PDP bertujuan untuk membantu graduan Bumiputera bukan sekadar mendapat pekerjaan bahkan membina kerjaya cemerlang dan menjadi contoh dan pemimpin kepada komuniti dan rakan sebaya mereka.
“Sejak ILTIZAM PDP dilancarkan pada tahun 2012, kami telah membantu hampir 600 graduan untuk membina kerjaya mereka melalui program latihan sambil bekerja selama 12 bulan yang mana mereka ditempatkan sebagai pelatih eksekutif di Ekuinas dan syarikat-syarikat rakan kongsi kami.
"Selain memberi pendedahan dan pengalaman bekerja yang penting dan bermakna, latihan kami memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi dan kepimpinan yang merupakan kemahiran utama yang diperlukan untuk pelatih eksekutif kami meningkatkan kebolehpasaran mereka, berdaya saing serta cemerlang dalam alam pekerjaan mencabar masa kini.
"Setiap pelatih eksekutif juga mempunyai mentor sepanjang program. Hubungan yang dibina semasa program kekal erat selepas program tamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Hizwani, kadar kejayaan program ILTIZAM PDP pada sesi 2021 adalah membanggakan yang mana 95% daripada 75 orang pelatih eksekutif telah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat program.
"Ini merupakan suatu hasil positif, dengan keadaan ekonomi mencabar ekoran pandemik COVID-19. Selepas tamat program, pelatih-pelatih ini berpeluang diserap masuk bekerja di Ekuinas serta syarikat-syarikat rakan kongsi kami, malah mendapat pekerjaan di syarikat tempatan serta global terkemuka," katanya.
Tambahnya, selain daripada latihan sambil bekerja, pelatih eksekutif ILTIZAM PDP juga menjalani program latihan khusus seperti kemahiran perniagaan dan pengurusan, kepimpinan, komunikasi Bahasa Inggeris, kemahiran pembentangan, dinamik pasukan serta daya ketahanan.
"Mereka juga dibimbing oleh mentor sepanjang tempoh program ini. Setiap pelatih eksekutif menerima gaji bulanan sebanyak RM2,500 berserta caruman Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta faedah perubatan dan insurans.
"Kami terus menambahbaik kurikulum ILTIZAM PDP agar kekal relevan dalam melahirkan individu yang kompetitif dan cekal. Ekuinas bagaikan ‘finishing school’ untuk graduan selepas menamatkan pengajian tinggi mereka," katanya.
Permohonan untuk ILTIZAM PDP sesi 2023 boleh dihantar melalui https://iltizam.ekuinas.com.my/pillars/education/pdp/ . - DagangNews.com