Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Industri Kreatif - 29 October 2021

HARAPAN BAJET 2022 UNTUK INDUSTRI KANDUNGAN KREATIF

 

 

Petang ini, perhatian ramai pastinya tertumpu kepada Menteri Kewangan dan pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 di Dewan Rakyat.

 

Ini merupakan pembentangan bajet yang penting kerana ia berperanan besar dalam proses pemulihan ekonomi negara selepas menghadapi pandemik COVID-19 yang cukup mencabar.

 

Kesemua sektor dan industri dalam negara ini pastinya mengharapkan suntikan belanjawan, tidak kira dalam bentuk fiskal mahupun bukan fiskal  bagi memastikan bukan sekadar survival industri  tetapi juga proses pemulihan yang lebih proaktif. Industri kandungan kreatif pastinya juga tidak terkecuali.

 

Meskipun industri kreatif secara keseluruhan telahpun menerima peruntukan sejumlah RM100 juta melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) baru-baru ini, namun saya percaya konsistensi dukungan daripada pihak kerajaan amat penting.

 

Ia  bukan sekadar bagi memperlihatkan komitmen kerajaan kepada industri ini  tetapi juga memastikan kelangsungan pembangunan industri bergerak secara berterusan dengan kadar pertumbuhan yang lebih baik.

 

Sepertimana yang seringkali saya nyatakan, fasa pandemik COVID-19 merupakan momen yang sangat sesuai untuk dimanfaatkan bagi merombak dan menstruktur semula keseluruhan industri ini yang kini dilihat kurang teratur dalam banyak aspek.

 

Oleh yang demikian, saya percaya Bajet 2022 dilihat sangat sesuai bagi menjadi ruang untuk mendukung usaha menjayakan hasrat tersebut.

 

kreatif

Jika sebelum ini, kita sering melihat bagaimana kebanyakan peruntukan kepada industri kandungan kreatif lebih terarah kepada suntikan langsung bagi menyediakan dana untuk kerja-kerja penerbitan kandungan dan pembangunan modal insan.

 

Bagi tahun ini dan tahun-tahun mendatang, saya mengharapkan, tanpa mengenepikan kepentingan suntikan bajet bagi kedua aspek tersebut – tetapi juga amat perlu bagi menyediakan peruntukan untuk aspek-aspek lain dalam keseluruhan rantaian ekosistem industri kandungan ini.

 

Perlu diingat bahawa ekosistem industri bukan sekadar perihal aktiviti penerbitan mahupun latihan kemahiran, tetapi juga melibatkan rantaian aktiviti dan sektor yang lebih luas.

 

Ini termasuklah aspek seperti galakan pelaburan, pengedaran dan pemameran kandungan, insentif percukaian, aspek jaringan data, pemasaran antarabangsa yang lebih berstruktur, pembangunan apresiasi dan pasaran, serta pelbagai lagi.

 

Peruntukan yang bersesuaian kepada sektor dalam setiap rantaian ini membolehkan gerak kerja pembangunan industri digerakkan secara lebih seimbang dan ideal  serta tidak tempang.

 

Pembangunan industri tidak boleh hanya bergantung kepada usaha memperbanyakkan penerbitan baharu sahaja, dengan mengenepikan aspek lain  dalam rantaian ekosistem termasuklah usaha memperluaskan saiz pasaran serta aksesibiliti pasaran.

 

Peruntukan bagi membina jaringan dan laluan perdagangan kandungan antara negara serantau contohnya boleh digerakkan sebagai inisiatif kerajaan – bagi kegunaan pemain industri – khususnya golongan penerbit.

 

Tidak juga mahu menafikan keperluan bagi suntikan bajet secara langsung kepada industri bagi memastikan kelancaran aliran tunai dalam industri serta memastikan kebajikan para pekerja industri kreatif terbela, namun saya percaya bahawa kita tidak boleh untuk berterusan bergantung kepada pelan jangka masa pendek begini semata-mata.

 

Peruntukan bajet yang seimbang antara objektif jangka masa pendek dan jangka masa panjang perlu disalurkan secara seimbang mengikut keperluan yang sesuai – berasaskan kepada kira-kira `pulangan paburan` dan pengukuran impak yang jelas.

Bajet 2022

Perlu diingat bahawa ‘pelaburan’ kerajaan dalam menyalurkan peruntukan kepada industri kreatif bukanlah hanya berasaskan ukuran pulangan dalam bentuk kewangan.

 

Tetapi kandungan kreatif juga membawa pulangan yang pelbagai dalam pelbagai konteks termasuklah pembangunan negara bangsa, pemberdayaan masyarakat dan intelektual, serta sebagai platform memberikan promosi dan publisiti kepada negara.

 

Industri ini juga memberikan impak serta mampu membawakan limpahan kepada sektor dan industri lain seperti pelancongan, kebudayaan dan sebagainya.

 

Ini semua memperkukuhkan justifikasi kepentingan industri ini – serta keupayaannya menjadi salah sebuah industri utama dan penyumbang ekonomi signifikan kepada negara.

 

Oleh yang demikian, dengan trend semasa pembangunan industri kandungan kreatif di seluruh dunia, saya melihat langkah untuk meningkatkan jumlah peruntukan kepada industri ini dari semasa ke semasa adalah sesuatu yang wajar – juga berasaskan rasional yang tepat. Inilah yang dilakukan oleh negara-negara yang mana industri kandungan mereka lebih terkehadapan.

 

kreatif

 

 

Jika Malaysia tidak mengikut langkah untuk terus menambah peruntukan pembangunan kepada industri ini, pastinya upaya perkembangan industri kandungan kreatif di Malaysia sukar untuk berkembangan mengikut kadar pertumbuhan global.

 

Jika ada yang skeptikal terhadap cadangan-cadangan memohon penambahan peruntukan kerajaan kepada industri ini yang dilihat mirip ke arah menjadi pelobi geran kerajaan semata-mata, perlu diingat seperti apa yang saya nyatakan di atas bahawa penyaluran penambahan peruntukan tersebut tidak boleh hanya tertumpu kepada satu aspek seperti sekadar dana penerbitan  tetapi perlu lebih holistik kepada keseluruhan rantaian ekosistem industri.

 

Malah bentuk suntikan secara bukan fiskal juga boleh diberikan sebagai galakan kepada pemain industri yang serius dalam memanfaatkannya sebagai ruang dan fasiliti membangunkan diri dan perusahaan masing-masing.

 

Pemberian geran bukanlah sesuatu yang negatif, malah mempunyai peranan penting sebagai inisiatif memberi fasilitasi kepada para pemain industri, khususnya yang baharu. Cuma, mekanismenya harus diperkemas dalam mengelak kelahiran `grantpreneur`yang hanya mengambil kesempatan terhadap setiap geran yang ditawarkan.

 

Oleh yang demikian, pembentangan Bajet 2022 ini adalah sesuatu yang dinantikan, dan diharapkan membawakan khabar gembira kepada para pemain industri, serta kepada industri keseluruhannya, dalam mengusahakan pembangunan keseluruhan ekosistem industri kandungan kreatif yang ideal dan seimbang, dengan trend dan kadar pertumbuhan yang lebih drastik berbanding kini.

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF TULISAN Ts AZHARUL

 

 

 

 

Portfolio Tags