Harga minyak sawit 2020 diunjur RM2,580 - Fitch Solutions | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit 2020 diunjur RM2,580 - Fitch Solutions

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 27 Okt. - Harga minyak sawit mentah (MSM) tahun ini diunjur sekitar RM2,580 satu tan metrik berbanding RM2,450 sebelum ini, menurut Fitch Solutions dalam kenyataan hari ini. 

Keadaan ini disebabkan pengeluaran minyak sawit global semakin menurun dengan permintaan dari China dan India pula semakin pulih. 

Jelas unit di bawah Fitch Ratings itu, harga MSM terbukti berdaya tahan di sebalik krisis pandemik COVID-19 dan dijangka muncul satu-satunya komoditi yang mencatatkan purata harga tinggi berasaskan tahun ke tahun termasuk beras, gandum dan kopi.  

"Beberapa bulan akan datang juga, harga MSM akan terus meningkat tetapi secara purata agak rendah berbanding harga semasa bagi sepanjang tahun ini. 

"Untuk itu, kami menyemak semula unjuran harga tahun ini kepada RM2,580 per tan metrik berbanding RM2,450 per tan metrik sebelum ini dengan andaian purata harga RM2,600 per tan metrik sepanjang tahun ini daripada harga semasa, RM2,800 per tan metrik," katanya. 

Peningkatan harga MSM adalah lebih tinggi didorong penurunan dalam pengeluaran minyak sawit global disebabkan cuaca kering tahun lalu memberi impak ke atas pokok sekitar September 2019 hingga Mac 2020.  

Selain itu, permintaan import dari India dan China pula semakin pulih berasaskan bulan ke bulan mulai Mei hingga Jun seterusnya selepas mengalami penurunan yang banyak ekoran wabak COVID-19 pada Januari hingga April.

Bagi unjuran 2021 pula, Fitch Solutions mengunjurkan harga yang lebih positif tetapi masih mengekalkan pandangannya yang harga berasaskan tahun ke tahun akan kekal tidak berubah.

Katanya, walaupun pengeluaran global akan kembali pulih secara berperingkat pada 2020/2021, namun akiviti ekonomi dilihat lebih kukuh tahun hadapan yang menyaksikan operasi restoran dan penggunaan bahan bakar akan menyokong penggunaan minyak sawit. 

"Kami kini melihat harga secara purata pada RM2,580 per tan metrik untuk tahun hadapan berbanding RM2,450 sebelum itu. Ia mengatasi harga purata RM2,424 per tan metrik pada 2015 hingga 2019," jelasnya. 

Malah, menurut firma itu, pemulihan import dari India dan China secara berterusan dan pengeluaran biodiesel di Indonesia akan terus menyokong harga minyak sawit pada tahun hadapan. - DagangNews.com