KUALA LUMPUR 9 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan harga minyak sawit mentah akan kekal tinggi buat sementara waktu dipengaruhi pelbagai faktor.
Ini terutamanya disebabkan gangguan bekalan minyak sayuran utama yang timbul daripada keadaan cuaca yang kurang baik, ketegangan geopolitik dan masalah bekalan baja yang berlarutan.
Menurut firma itu, harga minyak sawit mentah telah mencecah setinggi RM8,076 satu tan metrik pada awal Mac lalu sebelum menyederhana baru-baru ini kepada RM6,700 satu tan metrik dan kini berlegar pada purata RM6,400 satu tan metrik.
Katanya, harga produk minyak sawit yang lebih tinggi itu telah memberi kelebihan kepada kesemua 8 syarikat perladangan di bawah liputannya dengan merekodkan hasil teras yang lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022.
"Melihat kepada faktor ini, kami mengekalkan unjuran minyak sawit mentah bagi 2022 pada RM5,500 satu tan metrik diikuti RM4,500 bagi 2023 dan 2024," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan memandangkan harga minyak mentah yang tinggi dalam tempoh terdekat akan menyumbang kepada hasil yang lebih baik.
Pilihan utamanya bagi sektor itu, antaranya, FGV Holdings Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM2.53 sesaham diikuti IOI Corp. Bhd. (beli, TP : RM5.07).
Selain itu, turut menjadi pilihannya termasuklah Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) (beli, TP : RM34.16) dan Sime Darby Plantation Bhd. (beli, TP : RM6.06).
Menurut HLIB, semua syarikat perladangan kecuali FGV dan KLK merekodkan hasil teras yang lebih rendah pada suku pertama, diheret turun terutamanya musim pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah.
Namun, katanya, kelemahan itu diimbangi dengan harga minyak sawit yang tinggi direkodkan pada suku berkenaan.
"Dalam kalangan 8 syarikat di bawah liputannya, FGV mencatatkan pertumbuhan hasil teras yang lebih tinggi dan ini didorong terutamanya daripada harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan caj bersih LLA yang lebih rendah," jelasnya.
Firma itu juga mendapati, di sebalik masalah kekurangan buruh di Malaysia, 4 daripada 7 syarikat perladangan (iaitu FGV, IOI, Hap Seng Plantations Holdings Bhd. dan KLK) menunjukkan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar yang positif disebabkan keadaan cuaca yang lebih baik di Sabah. - DagangNews.com