Skip to main content

Helwa ABIM selar sikap memperleceh maruah wanita

Oleh FATIN NUR MAJDINA NORDIN

 

HAL EHWAL WANITA (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar sikap sesetengah pihak yang menjenakakan rogol dengan nada gurauan dan tanpa rasa kesal dalam khalayak umum.

 

Khususnya dalam isu viral berkaitan pendedahan yang sangat tidak wajar oleh seorang pelakon lelaki bagi adegan rogol yang telah dipotong dalam sebuah filem tempatan.

 

Tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar dan telah memperlecehkan maruah seorang wanita. Kemungkinan perbualan dalam kalangan lelaki berlangsung tidak terkawal bukan alasan konkrit dalam menjelaskan isu ini.

 

 

Lawak dan perbualan lucah tidak seharusnya dinormalisasikan dalam masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila ia disiarkan secara langsung di kaca televisyen yang akan ditonton oleh segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

 

Walaupun pendedahan ini telah lama berlaku, namun ia tetap memberi kesan yang mendalam kepada mangsa. HELWA ABIM memandang serius isu perlecehan maruah golongan wanita dan perkara ini harus diambil serius oleh semua pihak.

 

 

Pelecehan melalui kata-kata dan gurauan yang mencetuskan ketidakselesaan dan boleh menyebabkan pencalaran maruah harus segera dihentikan. Sebaliknya budaya hormat dan tindakan berfikir sebelum bercakap mesti dibugarkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
 

Maruah adalah aspek penting yang harus terus dipelihara dan dilindungi, tanpa memberi justifikasi dan prejudis terhadap pengalaman silam individu.
 

 

Setiap manusia sama ada seorang menteri, pelakon, influencer, guru, petani, usahawan dan lain-lain mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menjaga dan memelihara maruah, sensitif dengan nilai kesopanan dan kesusilaan, serta berintegriti dalam menjalankan tugas.
 

Kita seharusnya melangkah lebih jauh dalam industri perfileman dan hiburan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan mutu karya tempatan.
 

 

Antaranya dengan mengangkat tema kritik sosial, budaya, politik dan kemasyarakatan yang akan membina jati diri dan pemikiran masyarakat Malaysia.
 

 

Kejayaan dan mutu sebuah program adalah bergantung kepada seluruh produksi termasuklah pengendali acara.
 

HELWA ABIM turut memuji keberanian dan ketegasan Raja Farah dan suami dalam menjawab isu viral berkaitan pendedahan adegan rogol tersebut.
 

 

Seluruh lapisan masyarakat khususnya dalam industri perfileman dan hiburan wajib mengambil iktibar dari insiden ini.
 

HELWA ABIM juga menggesa agar Rang Undang-undang Gangguan Seksual segera dibentangkan dan seterusnya dikuatkuasakan.
 

 

Isu perlecehan maruah wanita masih terus berlaku rentetan tiada akta yang benar-benar melindungi wanita dalam isu ini. - DagangNews.com

 

 

Fatin Nur Majdina Nordin adalah Naib Presiden ABIM (HELWA)