Skip to main content

Hentikan Merokok! Ingatlah Pada Yang Tersayang

Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah malah akan bertemu dengan pelbagai dugaan.
Oleh Syed Muhammad Saifullah Syed Yahya

ISU merokok merupakan sesuatu yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita walaupun telah diketahui bahawa merokok mendatangkan kemudaratan.

 

Setiap lapisan masyarakat telah ambil maklum bahawa merokok sangat berbahaya kepada diri sendiri mahu pun terhadap orang-orang di sekeliling mereka.

 

Hal ini disebabkan terdapat kandungan bahan-bahan yang merbahaya di dalam rokok tersebut.

 

Walaubagaimanapun, berpunca daripada ketagihan, mereka yang merokok merasa begitu sukar untuk meninggalkan tabiat merokok walaupun telah berulang kali berusaha untuk berbuat sedemikian.

 

Merokok mungkin pada awalnya dapat memberikan rasa keseronokan dan ketenangan, namun impaknya hanyalah sementara sahaja kerana tanpa disedari mereka yang merokok ini akan merasakan kesan-kesan dan akibat sesudah ketagihan merokok dalam tempoh masa yang panjang.

 

Meskipun telah didedahkan bahawa merokok ini mendatangkan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya, pernyataan-pernyataan itu masih tidak cukup untuk mendatangkan kesedaran dan ketakutan kepada perokok untuk cuba meninggalkan tabiat berbahaya ini.

 

Tabiat merokok yang berpanjangan selain daripada memudaratkan kesihatan juga boleh menyebabkan perokok lebih mudah dan lebih teringin untuk mengambil bahan yang lebih berbahaya seperti dadah kerana umumnya dadah mendatangkan rasa ketenangan yang lebih kuat daripada rokok.

 

Telah diketahui bahawa merokok ini boleh mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada tubuh badan manusia justeru kesannya boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang.

 

Kesan jangka pendek adalah di mana perokok akan menghadapi masalah gangguan fungsi otak, deria pendengaran dan bau, masalah kesukaran untuk bernafas secara normal dan sentiasa merasakan kekurangan tenaga pada tubuh badan untuk melakukan kehidupan seharian.

 

Kesan jangka panjang pula adalah di mana perokok akan terus dan kekal menghidapi penyakit merbahaya seperti barah, penyakit jantung, angin ahmar, penyakit paru-paru, strok, kanser paru-paru, penyakit ulser peptic, impoten, penyakit pankreatik, penyakit buah pinggang kronik dan sebagainya.

 

parafrasa

 

Masyarakat perlu diingatkan bahawa kesan dan bahaya merokok bukan sahaja terhad kepada yang menghisap rokok tetapi juga kepada orang di sekeliling mereka lebih-lebih lagi dalam kalangan keluarga sendiri dan rakan-rakan berhampiran mereka.

 

Oleh hal yang demikian, langkah-langkah yang berkesan dan efektif perlu diterapkan dalam diri setiap perokok supaya mereka dapat meninggalkan tabiat merokok secara menyeluruh walaupun dalam kadar yang perlahan.

 

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan selalu melakukan aktiviti kesukanan dan beriadah di taman-taman.

 

Jika mereka dapat menitikberatkan kesihatan tubuh badan, mereka akan terhindar daripada sebarang idea untuk merosakkan tubuh badan mereka dengan merokok. Jika bersukan secara berkumpulan akan menambahkan lagi motivasi di dalam diri mereka.

 

Langkah seterusnya adalah dengan menguatkan semangat di dalam diri dan berdisiplin untuk berhenti merokok.

 

Cara yang boleh dilakukan adalah dengan menetapkan tarikh untuk berhenti merokok, membuat nota peringatan kepada diri sendiri, katakan kepada diri bahawa “Aku bukan perokok”, sentiasa berpikiran positif, mendapatkan sokongan daripada orang tersayang seperti keluarga dan rakan-rakan dan ingat bahawa masih banyak insan di luar sana yang menyayangi kita.

 

Langkah berikutnya adalah dengan melaksanakan amalan berpuasa seperti dianjurkan Islam bagi mengawal nafsu dari melakukan maksiat seperti merokok.

 

Seseorang yang berpuasa tidak akan dapat merokok dalam tempoh lebih kurang 13 jam sehari iaitu dari waktu subuh ke maghrib.

 

Walaupun pada malamnya masih berpeluang untuk merokok, sekurang-kurangnya separuh hari telah dihalang dengan berpuasa justeru dapat beribadah kepada Allah SWT.

 

parafrasa

 

Oleh itu, dengan maklumat dan informasi ini, dapatlah sama-sama kita mengenali kesan merokok dan menjadi titik perubahan untuk berhenti merokok dan menjalani hidup yang lebih sihat.

 

Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah malah akan bertemu dengan pelbagai dugaan.

 

Tetapi dengan azam yang kuat anda mampu mendapatkan hidup yang lebih sihat dan bebas daripada rokok, bak kata pepatah “usaha tangga kejayaan”. – DagangNews.com

 
Syed Muhammad Saifullah Syed Yahya adalah Pelajar Tahun 2 dari Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia