Hyundai Kona tembusi pasaran Malaysia bermula Oktober depan | DagangNews Skip to main content

Hyundai Kona tembusi pasaran Malaysia bermula Oktober depan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Berita baik buat peminat kenderaan Hyundai di Malaysia kerana kenderaan utiliti lasak (SUV) kompak, Hyundai Kona akan mula dipasarkan di negara ini pada suku keempat 2020.

Tempahan Hyundai Kona boleh dibuat di bilik pamerannya bermula hari ini (27 Ogos 2020).

Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) yang mengumumkan perkara itu berkata, Kona akan menjadi versi binaan lengkap yang diimport sepenuhnya dari kilang Hyundai Motor Company (HMC) di Ulsan, Korea Selatan.

“Menerusi pemasaran Kona, HMC kini mempunyai tiga rangkaian kenderaan SUV termasuk Tucson dan Santa Fe.

“Kona juga merupakan segmen B SUV pertama HSDM yang disasarkan khas buat pengguna dengan gaya hidup aktif,” jelas HSDM dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dinamakan sempena daerah Kona di Hawaii, SUV kompak itu meneruskan rekaan identiti baharu Hyundai dengan bahagian depan yang ekspresif dan kuat serta dijana oleh jeriji lata iaitu penampilan khas syarikat.

Ciri-ciri lain termasuk lampu komposit berasingan dengan Lampu Siang diod pemancar cahaya (LED) dan kedudukan tempat duduk yang lebih tinggi memberikan penglihatan yang lebih baik untuk pemandu.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung berkata, pasaran SUV dan SUV kompak berkembang pesat dan pihaknya melihat terdapat potensi bagi model SUV Hyundai.

“Kami teruja dengan pelancaran Kona dan ini merupakan produk baharu serta kami yakin akan menerima maklum balas baik. SUV Kompak menerima permintaan tinggi bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global,” kata Yuan Lung.  

Kona pertama kali dilancarkan di Korea Selatan pada tahun 2017 dan menerima sambutan menggalakkan.

Kona juga menerima anugerah dan pengiktirafan bagi segmen SUV Kompak dari seluruh dunia.

Mereka yang berminat boleh hubungi Hyundai menerusi talian 1300-13-2000 atau layari pautan  www.hyundai.com.my untuk mengetahui bilik pameran terdekat. – DagangNews.com