Skip to main content

5,000 petugas pastikan operasi lancar di lebuh raya PLUS semasa CNY, termasuk laluan RFID

KUALA LUMPUR 28 Jan - Secara keseluruhan, seramai 5,000 kakitangan dari ekosistem lebuhraya akan bertugas dan bersedia untuk memastikan segala operasi dan perkhidmatan lancar di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS Malaysia.

 

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, jumlah kakitangan barisan hadapan yang bertugas di plaza-plaza tol juga ditambah kepada 1,520 orang selain 264 pasukan PLUSRonda dan  Unit Penguatkuasaan Trafik yang akan membuat rondaan 24-jam untuk membantu pelanggan. 

 

Beliau berkata, seramai 587 anggota Pasukan ERT -  dari PDRM, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), St John Ambulance serta Persatuan Bulan Sabit Merah akan diletakkan dalam keadaan bersedia 24-jam sehari bermula dari 24 Januari hingga 8 Februari 2022. 

 

Menurutnya, sebagai sokongan seramai 209 orang anggota RELA akan ditempatkan di Plaza tol dan kawasan rehat bagi membantu kelancaran trafik. 

Persediaan itu kata beliau, seiring dengan jangkaan PLUS akan berlaku peningkatan trafik daripada 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa  kepada 1.6 juta menjelang perayaan Tahun Baharu Cina ini. 

 

''Sebagai persediaan PLUS telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang bermula 28 Januari  sehingga 6 Februari ini sebagai rujukan  untuk merancang perjalanan bagi mengelak kemungkinan berlaku kesesakan apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terperangkap di satu-satu lokasi di lebuhraya secara serentak. 

 

''Orang ramai khususnya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan untuk memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi manakala bagi lain-lain negeri pula selepas jam 1 petang,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Plus
                    MOHD YUSUF ABDUL AZIZ

  

Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di R&R dan hentian sebelah di sepanjang lebuhraya.

 

Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

 

PLUS meminta pelanggannya merancang perjalanan dan berwaspada ketika memandu. Keadaan fizikal dan mental serta kenderaan yang dipandu harus berada dalam keadaan bersedia selain patuh SOP. 

 

Untuk maklumat trafik terkini sila rujuk platfom media sosial PLUS melalui laman sesawang www.plus.com.my, Twitter PLUSTrafik, Applikasi PLUS atau hubungi PLUSLine di talian 1800 88 0000.

 

PLUS

 

Sementara itu, Mohd Yusuf berkata, PLUS turut menghargai pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol terutama di Lorong RFID dan telah mengambil beberapa langkah penambahbaikan termasuk menugaskan kakitangan menggunakan peranti mudah alih mengimbas tag RFID plaza di lorong RFID untuk membantu Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID.

 

Menurutnya, pelanggan lebuh raya disaran memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan papan tanda yang disediakan dan pastikan pautan e-Wallet Touch n Go telah aktif dan baki di akaun sentiasa mencukupi untuk perjalanan yang lebih lancar. 

 

''Pada masa ini, terdapat 26 Pusat Pemasangan di sepanjang lebuhraya PLUS termasuk tambahan 2 Pusat Pemasangan RFID  di Hentian Sebelah Serdang dan Plaza Tol Jalan Duta beroperasi dimusim perayaan ini.  

 

''Pelanggan dijemput dan digalakkan untuk untuk uji pengesanan di FC yg disediakan ini,'' kata beliau.

 

Sebagai persediaan membiasakan penggunaannya, pengguna RFID digalakkan untuk menguji pakai terlebih dahulu.

 

Untuk mengetahui lokasi Pusat Pemasangan terdekat dengan anda atau ingin mendapatkan keterangan lanjut sila hubungi Touch n Go Careline 03-2714 8888 atau layari laman web www.touchngo.com.my. - DagangNews.com