Skip to main content

ACCCIM, dewan perniagaan seluruh negara diminta senaraikan halangan birokrasi setiap negeri

Dato' Sri Mustapa Mohamed merasmikan mesyuarat agung ACCCIM di Melaka pada 25 Jun 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

MELAKA 25 Jun - Kerajaan meminta Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan dewan perniagaan lain supaya menyenaraikan secara terperinci halangan birokrasi yang dihadapi di setiap negeri.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Sri Mustapa Mohamed berkata, Sekretariat PEMUDAH dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan  mengaturkan pertemuan dengan pihak berkenaan secara berkala supaya persekitaran perniagaan dan iklim pelaburan akan bertambah baik.

 

Menurutnya, ACCCIM sentiasa memberi input kepada penggubalan dasar dan strategi ekonomi, terutamanya melalui Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Dalam mesyuarat EAC baru-baru ini kata beliau, ACCCIM telah berkongsi hasil tinjauan ekonomi terkini yang dikendalikan. Antara lain, isu dan cabaran mengenai peningkatan kos untuk menjalankan perniagaan yang disebabkan oleh karenah birokrasi telah dibangkitkan.

 

"Kerajaan mengambil serius mengenai perkara ini dan bertekad untuk terus menambahbaik persekitaran perniagaan untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan, terutamanya melalui memperkemaskan peraturan dan mengurangkan karenah birokrasi. 

 

"Kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemuda Cara Perniagaan (PEMUDAH) sentiasa memastikan urusan para pemain industri dapat dipermudahkan lagi.

 

"Pelbagai inisiatif telah dan sedang giat dilaksanakan bagi memudahkan urusan menjalankan perniagaan, terutamanya melalui pemodenan peraturan-peraturan perniagaan agar tidak menjadi penghalang kepada pertumbuhan produktiviti dan daya saing peniaga, serta berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi,'' kata beliau.

 

Mustapa berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ACCCIM di sini hari ini, sebagai mewakili Perdana Menteri.

 

 

Dato' Sri Mustapa Mohamed
Dato' Sri Mustapa Mohamed berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung ACCCIM di Melaka pada 25 Jun 2022.

 

 

Menurut beliau lagi, PEMUDAH yang dipengerusikan bersama oleh beliau dan Ketua Setiausaha Negara serta Ahli Majlis Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dato’ Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw, mengadakan mesyuarat setiap bulan bagi memperhalusi penyelesaian bagi menangani isu berkaitan dengan beban peraturan perniagaan yang dihadapi oleh pihak industri dan komuniti perniagaan.

 

Mesyuarat EAC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 24 November 2021, dan 13 Jun 2022, telah bersetuju untuk memperkukuhkan inisiatif Malaysia Mudah atau MyMudah dengan penubuhan Unit MyMudah di semua Kementerian dan Agensi Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan serta Persatuan Perniagaan. 

 

"ACCCIM merupakan antara persatuan perniagaan terawal yang menubuhkan Unit MyMudah. Bagi merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh 
Unit-Unit MyMudah, Kerajaan juga bersetuju untuk mengurangkan sasaran tempoh penyelesaian isu daripada 12 bulan kepada 60 hari,'' katanya. 

Sehubungan itu kata beliau, komitmen daripada pihak swasta, terutamanya dewan perniagaan seperti ACCCIM adalah amat penting bagi menangani isu-isu beban peraturan yang tidak wajar ini melalui pendekatan kerjasama inovatif antara sektor awam dan swasta. 

 

 

acccim

 

 

Mustapa berkata, kerajaan juga memandang serius ke atas impak kekurangan pekerja asing ke atas ekonomi yang sering dibangkitkan oleh pihak industri.

 

Setakat 10 Jun 2022, daripada kira-kira 266,000u kuota pekerja asing yang diluluskan, hanya 19,000 daripada 12 sumber negara yang telah memasuki Malaysia.

 

"Perdana Menteri telah mengarahkan supaya proses kelulusan permohonan pekerja asing disegerakan agar tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi.

 

"Keutamaan Kerajaan adalah untuk memastikan bekalan pekerja yang mencukupi untuk menyokong pemulihan sektor perniagaan," kata beliau.

 

Susulan itu kata Mustapa, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Dalam Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan kementerian dan agensi serta pihak yang berkenaan bagi mempercepat serta mempermudahkan lagi proses kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan.

 

"Walau bagaimanapun, bagi jangka panjang, Kerajaan menggesa supaya perusahaan untuk mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada pekerja asing melalui penggunaan teknologi dan automasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

 

"Perusahaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran untuk mengambil peluang pelbagai kemudahan kewangan dan dana serta geran yang disediakan oleh pelbagai agensi Kerajaan untuk menyokong automasi dan pendigitalan ke arah mencapai Industri 4.0,'' kata Mustapa. - DagangNews.com